13 Mac, 2012

Irfan Bakti bakal kena pecat!

NASIB jurulatih Selangor, Irfan Bakti Abu Salim (gambar kecil) mungkin sama seperti mana pengendali Chelsea, Andre Villas-Boas seandainya beliau berada dalam saingan Liga Perdana England.

Ia ekoran persembahan hambar Gergasi Merah yang sekadar mengutip 12 mata daripada sembilan perlawanan Liga Super setakat ini yang jelas mengecewakan peminat fanatik Merah Kuning.

Malah, tewas menerusi penentuan sepakan penalti terhadap Johor FC ketika pusingan kedua Piala FA baru-baru ini juga menyukarkan sasaran yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk sekurang-kurangnya menjulang satu piala musim ini.

Mungkin, 'magis' yang dimiliki Irfan ketika bersama Terengganu musim lepas apabila muncul juara Piala FA serta naib juara Liga Super dan Piala Malaysia 2011, dilihat masih belum menjadi sehingga timbul spekulasi betapa masa depannya bersama Selangor semakin samar.

Setiausaha Agung FAS, Datuk Hamidin Mohd. Amin begitupun pantas menyangkal dakwaan tersebut dan menegaskan, pihaknya masih mempercayai dan menagih kredibiliti yang dimiliki Irfan.

Mengakui kecewa dan menganggap tidak ada rezeki sele- pas terlepas Piala FA musim ini, Hamidin begitupun mengingatkan Irfan dan pemain-pemain Selangor supaya segera melupakan kekecewaan tersebut.

Menurut beliau, pertemuan menentang Kuala Lumpur dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu ini dilihat seba- gai medan terbaik bagi membuktikan kebangkitan Gergasi Merah.

"Sudah tidak ada rezeki kami mendakap Piala FA musim ini, hendak buat macam mana. Saya percaya Irfan pasti melaku- kan sesuatu ketika menentang Kuala Lumpur, Sabtu ini.

"Kedudukan Irfan sebagai jurulatih juga tidak terjejas kerana kami masih berpeluang memburu sekurang-kurangnya satu piala musim ini," katanya kepada Kosmo! semalam.

Ketika ditanya mengenai tindakan yang bakal dikenakan terhadap penjaga gol, Norazlan Razali yang dikatakan menjadi punca kekalahan Selangor kepada Johor FC tempoh hari, Hamidin begitupun menyerahkan tindakan lanjut berhubung perkara itu kepada Irfan.

"Kami sedang membuat post-mortem bagi mengenal pasti punca sebenar kekalahan kami semasa menentang Sang Lebah, namun saya percaya ia lebih kepada kurang bernasib baik.

"Terpulang kepada Irfan (jika mahu menggunakan khidmat G. Jeevananthan) bagi menggantikan Norazlan (dalam pertemuan menentang Kuala Lumpur). Apa pun, kami masih menunggu laporan postmortem sebelum mengambil tindakan lanjut," tegasnya.


EmoticonEmoticon