06 April, 2012

Hukuman FAM beri saya semangat baru - Annuar Musa

Hukuman gantung dua setengah tahun yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ke atas Tan Sri Annuar Musa kelmarin nyata tidak melunturkan semangat timbalan presiden itu untuk terus aktif memajukan sukan bola sepak.

Dalam mesej yang disampaikan menerusi Facebook, Annuar berkata, beliau akan terus bergiat aktif untuk membangunkan bidang bola sepak.

"Mereka boleh gantung atau haramkan saya dari bola sepak, tetapi saya haramkan diri saya untuk berhenti daripada aktif memajukan bola sepak Malaysia," kata Annuar.

Annuar yang sebelum ini berkata akan akur menerima apa juga hukuman Jawatankuasa Tatatertib berkata, bagi beliau tindakan FAM ini telah memberi semangat baru kepadanya.

"Mereka boleh mengambil semua pangkat saya, tetapi mereka tidak boleh ambil maruah saya.




"Sekarang biar orang ramai dan peminat untuk menilainya, dan ALLAH yang menentukan segalanya," kata Annuar.

Annuar dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semasa mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM pada 4 Februari lepas iaitu hal-hal FAM tidak wajar disebar kepada media dan sepatutnya dibawa berbincang dengan jawatankuasa yang berkenaan.

Dengan itu, FAM memutuskan Annuar didapati bersalah dan memutuskan untuk menggantung Annuar dua setengah tahun.

Keputusan itu menetapkan beliau tidak boleh mengemukakan rayuan atas alasan hukuman dikenakan adalah minimum dan perlu berjalan secara berasingan kerana ia adalah dua kesalahan berbeza.

Beliau juga perlu melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang disandangnya.

Hukuman itu diputuskan selepas jawatankuasa mendapati Annuar bersalah membuat kenyataan akhbar berbau negatif mengenai skuad bola sepak negara yang melanggar Artikel 88, Statut FAM edisi 2010-2014 pada 12 Februari lepas.

Mengikut peraturan FAM hanya Presiden dan Setiausaha Agungnya sahaja yang boleh memberi komen berkenaan skuad kebangsaan.

Penggantungan Annuar menjadikan beliau individu ketiga menjadi ‘mangsa’ hukuman FAM selepas dua bekas Naib Presiden FAM sebelum ini, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar dan Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil yang digantung kerana mengkritik FAM.

- Sinar


EmoticonEmoticon