24 Mei, 2012

Drogba 'berkorban' demi Torres

DIDIER Drogba berkata pemain bernilai 50 juta pound (RM247.5 juta) Fernando Torres mampu menggantikannya dalam legenda Chelsea.

Penyerang Sepanyol itu berang kerana tidak diletakkan sebagai kesebelasan utama untuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Munich.

Begitupun Drogba yang meninggalkan Chelsea selepas lapan tahun dan meraih pelbagai kejayaan, yakin giliran pemain yang suatu ketika dahulu pernah dikenali sebagai anak emas Liverpool itu akan tiba.

“Semua orang mengenali Fernando sebagai pemain yang hebat dan bertaraf antarabangsa,” kata bintang Ivory Coast.

“Dia melalui detik yang sukar tetapi ia berlaku kepada sesiapa saja.

“Yang baiknya, dia menerima sokongan kami. Dia sentiasa memperolehinya dan saya tahu dia akan meningkat musim depan.

“Saya juga menghadapi masalah pada beberapa musim terawal. Saya tidak boleh mengeluh tetapi bukan mudah untuk beraksi bersama Chelsea.

“Fernando akan memastikan Chelsea berada pada tahap terbaik. Sudah tentu kami memerlukan penyerang baru tetapi Torres akan menyempurnakan tugas itu. Tidak syak lagi dia akan melakukannya.”

Ketika Drogba merenung kepada kariernya di Chelsea, dia turut meluahkan penghargaan kepada bekas pengurusnya, Jose Mourinho kini mengendalikan Real Madrid, yang mengubahnya menjadi pemain hebat.

“Semua orang tahu beliau adalah orang yang memberi kekuatan kepada saya dan banyak yang saya pelajari daripada Jose, baik sebagai insan mahupun pengurus.

“Beliau memberikan saya sifat seorang wira dan keinginan untuk mencipta sejarah. Beliau adalah seorang wira dan sifat itu kini mengalir di dalam tubuh kami.

“Seronok jika memenangi kejohanan ini untuknya kerana kami sudah mencuba banyak kali.”

Drogba dan beberapa pemain lama mempamerkan aksi terbaik sebelum mereka berada di penghujung karier. Ia satu tempoh yang akan tercatat dalam sejarah kelab.

“Saya tidak akan katakan yang kami mencipta Chelsea tetapi kami memulakan era baru dan kami bertuah menjadi sebahagian daripada pasukan ini lapan tahun lalu.

“Kini, ke mana saja kami pergi di seluruh dunia, semua orang tahu mengenai Chelsea.

“Anda pergi ke Afrika dan orang ramai bercakap mengenai Chelsea. Saya nampak kanak-kanak memakai jersi Chelsea di India dan di mana saja. Chelsea adalah satu jenama dan kami bangga mencapainya.”


INFO PENCAPAIAN DROGBA BERSAMA CHELSEA:


Musim 2004-05
Penampilan: 41 Gol: 16
Trofi dimenangi: Liga Perdana Inggeris, Piala Liga

Musim 2005-06
Penampilan: 41 Gol: 16
Trofi dimenangi: Liga Perdana Inggeris

Musim 2006-07
Penampilan: 60 Gol: 33
Trofi dimenangi: Piala FA, Piala Liga

Musim 2007-08
Penampilan: 32 Gol: 15
Trofi dimenangi: tiada

Musim 2008-09
Penampilan: 42 Gol: 14
Trofi dimenangi: Piala FA

Musim 2009-10
Penampilan: 44 Gol: 37
Trofi dimenangi: Liga Perdana Inggeris, Piala FA

Musim 2010-11
Penampilan: 46 Gol: 13
Trofi dimenangi: tiada

Musim 2011-12
Penampilan: 35 Gol: 13
Trofi dimenangi: Liga Juara-Juara, Piala FA

Metro


EmoticonEmoticon