22 Mei, 2012

(Gambar) Piala Thomas - Chong Wei tarik diri dari kejohanan akibat tercedera

WUHAN 22 Mei - Perseorangan nombor satu negara, Datuk Lee Chong Wei menarik diri daripada kejohanan Piala Thomas setelah cedera di buku lali kanan ketika beraksi pada perlawanan peringkat kumpulan C di sini hari ini.

Chong Wei yang sedang mendahului 2-0 dalam set pertama menentang perseorangan Denmark Peter Hoeg Gade, terseliuh ketika cuba menyambut pukulan lawannya di bahagian belakang gelanggang.

Chong Wei menerima rawatan awal di gelanggang daripada pasukan perubatan sebelum memutuskan untuk menarik diri.Beliau kemudian dibawa keluar dari Pusat Sukan Gimnasium Wuhan menggunakan kerusi roda sebelum dilihat meninggalkan perkarangan venue perlawanan dengan ambulans.

Jurulatih kebangsaan Rashid Sidek berkata buat masa ini beliau tidak mengetahui sejauh mana keadaan kecederaan pemain itu dan Chong Wei mungkin perlu menjalani "x-ray" di pusat perubatan di sini.

"Kita terpaksa rehatkan dia sebab kena fikirkan persediaan Olimpik. Masih ada tiga bulan untuk Olimpik, jadi harap dia akan sembuh secepat mungkin," katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan kejohanan Piala Thomas itu.

- BERNAMA


EmoticonEmoticon