25 Mei, 2012

Hoki Sultan Azlan Shah - Malaysia seri dengan Korea Selatan

IPOH: Malaysia bangkit pada babak kedua untuk mengikat Korea Selatan 1-1 dalam saingan pembuka tirai Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di sini, malam ini.

Korea Selatan, bagaimanapun mengejutkan tuan rumah seawal minit ketujuh menerusi Seong Jo Ho yang menyumbat masuk bola ketika berlaku pergelutan di hadapan pintu gol negara yang dikawal S. Kumar.

Ketinggalan satu gol, anak buah Tai Beng Hai terus menggasak pintu gol Korea Selatan namun serangan yang dilakukan berjaya dikekang pertahanan lawan.

Skuad negara dihadiahkan dua pukulan sudut penalti pada separuh masa pertama tetapi gagal menghasilkan jaringan untuk kedudukan kekal 0-1 berpihak kepada Korea Selatan.

Sebaik babak kedua bermula, kedua-dua pasukan saling berbalas asakan namun serangan pantas skuad negara pada minit ke-56 berjaya membuahkan hasil untuk gol penyamaan menerusi Faisal Saari yang menolak masuk bola menumpaskan penjaga gol Korea Selatan, Lee Myung Ho.




Gol penyamaan itu menaikkan semangat pasukan Malaysia namun kekebalan benteng pertahanan Korea Selatan menafikan peluang untuk menambahkan jaringan sehingga permainan tamat.

Begitu pun, pujian patut diberikan kepada Kumar kerana berjaya menangkis serangan pasukan lawan untuk membolehkan Malaysia dan Korea Selatan berkongsi satu mata.

Kumar juga dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut.

Sementara itu, Beng Hai berkata gandingan pemain remaja dan senior dalam pasukan negara berjaya mempamerkan persefahaman yang baik dalam perlawanan berkenaan.

"Saya berpendapat pasukan ini mampu menaikkan kembali nama Malaysia dalam sukan ini pada masa depan," katanya. - BERNAMA


EmoticonEmoticon