20 Mei, 2012

Irshad Manji dilarang anjur sebarang program

GURUN 19 Mei - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan membenarkan sebarang program yang melibatkan seorang pendukung gay, biseksual dan transeksual (LGBT), Irshad Manji diadakan di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pihaknya memandang serius terhadap perkara itu dan meminta semua jabatan agama di setiap negeri menghalang sebarang program melibatkan wanita itu daripada berlangsung.

Beliau berkata Manji, 48, akan datang ke negara ini bagi tujuan melancarkan buku terbarunya bertajuk "Islam, Liberty and Love" yang dipenuhi unsur penghinaan terhadap Islam serta perjuangannya dalam mempertahankan cara hidup sebagai seorang lesbian.

"Kerajaan amat memandang serius terhadap ideologi yang dibawa oleh Irshad Manji dan implikasinya terhadap umat Islam di negara ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Buat Elok Saja Tau (Best) di sini malam tadi.

Katanya ideologi tersebut jelas bertentangan dengan kedudukan Malaysia sebagai negara Islam berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan (Islam sebagai Agama Persekutuan), Akta dan Enakmen Agama Islam negeri-negeri, undang-undang sivil dan norma masyarakat.

Manji merupakan seorang muslim berfahaman liberalismie, pluralisme dan feminisme dan dia merupakan pendukung LGBT di peringkat antarabangsa.

Dia pernah mengarang sebuah buku yang menimbulkan kegelisahan dan kemarahan umat Islam di seluruh dunia bertajuk "The Trouble With Islam Today" yang mengandungi idealisme sama seperti penulis novel "The Satanic Verses", Salman Rushdie. - BERNAMA


EmoticonEmoticon