19 Mei, 2012

Kelantan juara Piala FA 2012

KELANTAN muncul juara baru Piala FA dengan menumpaskan KL Sime Darby 1-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Pasukan itu yang gagal dalam dua percubaan sebelum ini muncul juara untuk menjulang piala baru persaingan FA malam ini.

KL Sime Darby ketinggalan 0-1 apabila Kelantan menjaringkan gol pertama pada minit ke-57 menerusi tentangan penalti - dijaringkan oleh Mohammed Ghaddar.

Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama dalam perlawanan akhir Piala FA yang sedang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Berdasarkan persembahan separuh masa pertama, kedua-dua pasukan saling mengasak ke kubu lawan masing-masing. Mereka menunjukkan aksi yang agresif dan seimbang pada awal babak permainan.

Rembatan kencang dari luar kotak penalti daripada pemain KL Sime Darby, Azmirul Azmi pada minit kesembilan berjaya ditangkap kemas penjaga gawang Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Sejurus selepas itu, sorakan stadium bergema, giliran Kelantan menguji penjaga gol Sime Darby, Mohd Redzuan Harun menerusi rembatan yang sama dari Indra Putra Mahyuddin pada minit ke-13. Kemudian, sepakan percuma Indra Putra ditangkap kemas penjaga gawang Sime Darby pada minit ke-20.

Pada minit ke-28, pemain sayap Kelantan, S.Chanturu dijatuhkan selepas membuat larian solo melepasi pemain KL Sime Darby di sudut kanan pintu gol.

Pemain pertahanan skuad Kijang yang mengalami kecederaan terpaksa dikeluarkan dan Rizal Fahmi Abdul Rosid dibawa masuk pada minit ke-32.

Kelantan memperoleh sepakan sudut yang pertama menerusi Zairul Fitree Ishak namun tandukan Mohd Badhri Radzi hampir berjaya menewaskan penjaga gol KL Sime Darby.

Tandukan Mohammed Ghaddar, penyerang import Kijang tersasar pada minit ke-41.

Pada aksi keseluruhan babak pertama permainan, kedua-dua buah pasukan menunjukkan permainan seimbang.

Kedua-dua pasukan mencari kejuaraan sulung. Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu di final.

Dan, ini kali pertama Sime Darby muncul di final.

Barisan Pemain:
Kelantan: Khairul Fahmi Che Mat, Zairul Fitree Ishak, S.Subramaniam (Mohd Rizal Fahmi Abdul Rosid), Obinna Nwaneri, Mohd Daudsu Jamaluddin (Mohd Farisham Ismail), Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Mohd Radzi (kapten), S. Chanturu (Mohd
Nurul Azwan Roya), Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha, Mohammed Ghaddar Mahmoud.

Sime Darby: Mohd Redzuan Harun, Es Lizuan Zahid Amir (kapten), Mohd Arif Ismail, Mohd Shazlan Alias, Mohd Fairuz Abdul Aziz, Azmirul Azmi (Mohammad Syukur Saidin), Mohd Nor Ismail, Mohd Shoufiq Khusaini, Leandro Teofilo Santos Pinto (Razali Umar Kandasamy), Mohd Faiz Mohd Isa, Patrick Ronaldinho Wleh (Mohd Asrol Ibrahim).

Pengadil: Suhaizi Shukri


EmoticonEmoticon