01 Mei, 2012

KPM kaji hantar guru Bahasa Inggeris ke Maktab Kirkby

CYBERJAYA: Tidak ada kaedah lebih berkesan dalam proses pengajaran bahasa Inggeris melainkan guru mata pelajaran itu mengajar secara bersemuka dengan pelajar masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau bagaimanapun berkata, guru terbabit perlu terlebih dulu menguasai bahasa itu sebaik mungkin sebelum berdepan pelajar mereka.

“Malah, masyarakat kampung turut memberi tumpuan terhadap kepentingan bahasa Inggeris. Justeru, bercakap mengenai penguasaan bahasa ini, kita tidak dapat lari dari kenyataan iaitu faktor utama menentukan kejayaan adalah guru,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kolej Antarabangsa Kirkby (KIC) dan pelancaran Buku Warisan Kolej Kirkby.

Hadir sama, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud; Pengerusi Lembaga Pengarah KIC, Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim dan Presiden KIC, Bismillah Khatoon Abdul Kader.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, beliau percaya kaedah digunakan pada 1950-an dengan menghantar guru ke Maktab Kirkby, England untuk belajar selama dua tahun dapat melahirkan guru yang menguasi bahasa Inggeris dengan cemerlang. “Ini kerana semua tenaga pengajar di sana terdiri daripada penutur jati.

Justeru, guru pelatih berpeluang berkomunikasi dalam bahasa itu dengan penutur jati selama dua tahun serta mempelajari budaya mereka yang menjadi asas pembentukan bahasa Inggeris.

“Dalam satu majlis minggu lalu, saya pernah nyatakan hasil tinjauan Jobstreet.com 2011 mengenai tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan graduan tidak memuaskan dan ia satu daripada rungutan utama dari pihak di sektor profesional,” katanya.

Mengulas mengenai keupayaan KIC, katanya, beliau yakin dengan keupayaan kolej itu dalam memainkan peranan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru pelatih dan rakyat negara ini.

Pada masa sama, beliau berpendapat cadangan Dr Yahaya supaya kerajaan menghidupkan kembali konsep Maktab Kirkby dengan menghantar semua guru pelatih bahasa Inggeris ke sebuah universiti bahasa di England adalah baik.


“Ia satu cadangan baik, tetapi memerlukan kajian yang mendalam. Semalam (kelmarin) saya sudah melancarkan dialog kebangsaan kajian semula pendidikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan satu daripada fokus utama ialah kaedah memastikan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar setaraf piawaian antarabangsa. “Saya mempelawa pihak KIC dan alumni Kolej Kirkby menyumbang cadangan dan idea melalui satu sesi yang dirancang bersama pegawai di bawah Kementerian Pelajaran,” katanya.


EmoticonEmoticon