08 Mei, 2012

Mat Zan letak jawatan dilihat sebagai wajar - Penyokong

KUALA TERENGGANU - Penyokong-penyokong setia sang penyu menyifatkan sebagai wajar keputusan ketua jurulatih Skuad Penyu, Mat Zan Mat Aris yang didakwa akan melepaskan jawatannya.

Bagi kebanyakan penyokong pasukan Terengganu, walaupun drastik, ia dianggap keputusan yang tepat diambil oleh jurulatih berusia 54 tahun itu.

Seorang penyokong tegar pasukan Terengganu, Zikri Mamat, 48, berkata sebagai ketua jurulatih beliau menganggap Mat Zan gagal dalam tugas yang diberikan. Seorang lagi penyokong Rosamiza Omar, 46, berkata aspek taktikal dan strategi yang diatur oleh Mat Zan dilihat kurang menjadi walaupun Terengganu mempunyai ramai pemain berkebolehan dan berpengalaman.

Ura-ura ketua jurulatih itu hendak melepaskan jawatannya berkuatkuasa 1 Jun depan telah tersebar sejak beberapa hari terutama di beberapa laman web, bagaimanapun Mat Zan gagal dihubungi bagi pengesahan.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengarahkan Mat Zan bercuti rehat selama dua minggu bermula 3 Mei lalu selepas menyaksikan Terengganu tewas kepada Sime Darby pada aksi separuh akhir Piala FA, piala yang disandang Terengganu sebanyak dua kali iaitu tahun 2000 dan 2011.

Selain itu, Terengganu juga mengalami beberapa siri kekalahan termasuk dibelasah 6-1 oleh Selangor dalam perlawanan Liga Super, tewas kepada pasukan dari Singapura Tampines Rovers 2-0 dan tewas 2-0 kepada Kitchee Hong Kong dalam perlawanan peringkat kumpulan F Piala Konfederasi Asia (AFC). Kekalahan itu mengundang perasaan hilang sabar penyokong yang mendesak agar Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT), Datuk Che Mat Jusoh dan Mat Zan meletakkan jawatan.

Difahamkan, ada beberapa calon yang berminat untuk membimbing pasukan Terengganu sekiranya Mat Zan berundur, antaranya bekas jurulatih kebangsaan dan jurulatih ternama lain. - Bernama
posted from Bloggeroid


EmoticonEmoticon