19 Mei, 2012

Muzakarah - Hadi Hudud kenakan syarat 'seksi' untuk UMNO

SHAH ALAM – Keraguan mulai berlegar. Apakah idea muzakarah dengan Umno yang dicetuskan Pas minggu lalu mampu jadi kenyataan? Ataupun episod kekeruhan dalam isu perpaduan Melayu/ Islam di negara ini akan berlarutan untuk beberapa dekad lagi, malah mungkin selama-lamanya?

Jika demikian, jelaslah tidak akan ada muzakarah yang sebenar melainkan hanya muza-keruh.Kekeruhan bagi episod kali ini mulai diperlihatkan hanya selepas lima hari Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan kesediaan parti itu untuk bermuzakarah dengan sesiapa sahaja termasuk Umno pada sidang media di Kuala Lumpur 14 Mei lalu.

Di Marang, Terengganu, semalam, Abdul Hadi sebaliknya menunjukkan tembok yang begitu sukar dilepasi Umno bagi merealisasikan pelawaannya itu.

“Umno tidak ikhlas. Jika benar parti itu ikhlas mahu bermuzakarah dengan Pas, betulkan dahulu sistem pilihan raya. Selagi sistem pilihan raya tak dibetulkan, bagaimana Umno yakin mereka telah bersedia menyahut seruan Pas untuk bermuzakarah?” katanya.

Beliau memberi reaksi demikian terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kelmarin dipetik berkata bahawa Umno sedia menyahut ajakan Pas untuk bermuzakarah asalkan tujuannya adalah untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.

Abdul Hadi berkata, selagi sistem pilihan raya tidak dibersihkan, ia membuktikan sikap tidak ikhlas Umno dalam isu-isu berkepentingan Islam, atau dalam usaha mempertahankan Islam.

Beliau kemudian mengkritik Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dikatakannya mengekang kebebasan akhbar sekali gus menyekat hak rakyat untuk mendapat maklumat yang adil bagi membolehkan mereka membuat pilihan yang tepat pada pilihan raya.

“Negara yang mengamalkan demokrasi yang baik sentiasa memberikan peluang sama rata kepada semua parti politik memandangkan media adalah saksi adil tetapi itu tidak berlaku di negara ini di mana parti memerintah mengongkong semua media.

“Ia menyebabkan rakyat tidak boleh menjadi hakim yang adil. Rakyat hanya mendengar sebelah pihak sahaja. Demokrasi yang macam ini tidak betul, demokrasi yang macam ini salah,” katanya.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam kenyataan yang disiarkan kelmarin, turut menyatakan persetujuan bagi cadangan muzakarah dengan Umno dan menyerahkan kepada pemimpin Umno sama ada mahu menjadikan pertemuan itu kenyataan ataupun tidak.
posted from Bloggeroid


EmoticonEmoticon