02 Mei, 2012

Penyiaran Rakaman Video Perhimpunan Digalakkan - Rais

KUALA LUMPUR, 2 Mei - Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan menggalakkan penyiaran rakaman video perhimpunan yang bertukar ganas Sabtu lepas bagi menunjukkan gambaran menyeluruh mengenai apa yang sebenarnya berlaku pada perhimpunan itu.

Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata pihaknya sendiri telah meminta stesen televisyen seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3 dan lain-lain untuk melihat video itu secara total yang akan mencerminkan gelagat masing-masing.

"Misalnya ada pihak yang menghentam cermin kereta polis, jadi ada videonya, harus dilihat.

"Pada masa yang sama, ada pula video yang menunjukkan kelakuan bagi pihak PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang tidak begitu sesuai, kita perlu lihat juga.

Ini semua boleh dikumpulkan sebagai bukti atas kelakuan dan tindakan masing-masing yang menentukan peranan mereka pada hari itu," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Telefon Pintar 4G bertaraf dunia, Eclipse oleh YTL Communication, di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai langkah polis yang akan menayangkan video tersebut bagi memberikan gambaran sebenar.

Rais berkata seperti yang diminta oleh rakyat, keadilan perlu dan setiap kumpulan mesti bertanggungjawab atas kelakuan masing-masing.

Mengulas mengenai tindakan Astro yang membuat tapisan ke atas liputan berita BBC pada perhimpunan Sabtu lepas, beliau berkata setiap badan penyiar bebas untuk melaksanakan amalan atau stail tersendiri dalam menyiarkan bahan berita terbaik untuk stesennya.

"Jika anda lihat pada durasi rakaman video bagi semua bahan berita di dunia, ia boleh berlarutan sehingga berjam-jam lamanya. Jangan beritahu saya yang setiap stesen tidak boleh melakukan suntingan sendiri bagi berita terbaik atau bahan berita yang sepatutnya disiarkan.

"Oleh itu, Astro, perlu melaksanakan tanggungjawabnya. Kita patut berinya pujian kerana tahu bahagian mana dalam berita itu yang mempunyai nilai berita.

"Mereka patut melaksanakannya mengikut tanggungjawab mereka sebagai firma penyiaran, dan juga sebagai syarikat yang bertanggungjawab untuk menyiarkan berita dari seluruh dunia.

"Dalam kes Astro ini, kita dapat lihat yang mereka telah sunting bahan berita itu dan hanya mengambil bahagian berita terbaik yang patut disiarkan mengikut ketetapan mereka sendiri," katanya.

Sementara itu, Rais berkata negara memerlukan modul yang membolehkan rakyat berkomunikasi secara jalur lebar dan pada masa yang sama, syarikat telekomunikasi dapat menawarkan perkhidmatan tersebut pada kadar yang mampu dimiliki oleh rakyat.

Katanya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang meneliti perkara tersebut, bagaimana formula itu dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.



Katanya internet merupakan satu keperluan yang akan menjadi sumber budaya kompetitif kepada Malaysia terutama dalam usaha negara untuk mencapai status negara maju pada 2020.

-- BERNAMA


EmoticonEmoticon