19 Mei, 2012

Remaja jadikan rumah tempat berkhalwat ramai-ramai!

BESUT - Lima pelajar termasuk tiga pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah di sini, didenda RM1,500 seorang oleh Mahkamah Rendah Syariah selepas mengaku salah melakukan perbuatan tidak bermoral dalam sebuah rumah di Kampung Gong Tengah, 27 Mac lalu.

Hakim Syarie, Mohd Nazri Yusof menjatuhkan hukuman tersebut apabila beliau berpuas hati terhadap pengakuan salah dan rayuan tertuduh.

Mereka ditahan dalam sebuah rumah di kampung tersebut dekat Kuala Besut pada jam 9.15 pagi dan tiada ikatan yang sah ketika kejadian, sehingga menimbulkan syak melakukan khalwat.

Semua tertuduh termasuk dua lelaki berumur 18 tahun itu dibicarakan di bawah Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir), Negeri Terengganu 2001 yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof.

Nik Mohd Shahril Irwan ketika membacakan fakta kes memberitahu, bertindak atas maklumat, penguat kuasa melakukan serbuan berwaran di sebuah rumah di Kampung Gong Tengah.

Penguat kuasa syariah terpaksa ke bahagian dapur rumah setelah pintu utama tidak dibuka oleh tertuduh ketika pihak berkenaan mengetuk pintu tersebut.

Pemeriksaan di dalam rumah mendapati, pintu sebuah bilik berkunci dari dalam dan selepas beberapa minit diketuk, ia dibuka oleh seorang remaja perempuan dan pemeriksaan mendapati terdapat tiga remaja perempuan di dalam bilik itu.

Nik Mohd Shahril berkata, remaja tersebut memberitahu penguat kuasa hanya mereka bertiga di dalam rumah itu namun, pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki sedang menyorok di atas siling rumah.

Ketiga-tiga pelajar perempuan itu tinggal di sebuah kuarters perumahan di Gong Keda.

Salah seorang lelaki terbabit adalah anak pemilik rumah tersebut manakala rakannya dari Kampung Gong Manok, Pasir Puteh, Kelantan.


EmoticonEmoticon