02 Mei, 2012

SUHAKAM sedia siasat semua insiden Bershit 3.0

SHAH ALAM – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) sedia untuk menjalankan siasatan berkenaan dakwaan mengatakan pihak polis mengenakan tindakan keterlaluan sehingga menyebabkan insiden ganas sewaktu perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara, Sabtu lalu.

Keperluan inkuiri awam dan terma rujukannya akan diputuskan sama ada hari ini atau esok.

Bagaimanapun, Pesuruhjayanya Suhakam, Mohd Shaani Abdullah berkata, pihaknya perlu meneliti laporan-laporan yang diterima sebelum memutuskan sudut siasatan yang akan dijalankan.

“Kami akan mengadakan mesyuarat esok (hari ini) atau lusa (esok). Inkuiri awam dan terma rujukan mengenai keputusan rasmi suruhanjaya untuk siasatan hanya akan diputuskan pada mesyuarat itu berdasarkan penjelasan tentang apa yang sebenar berlaku pada hari kejadian," kata beliau.

“Kami juga sudah mula meneliti bahan-bahan seperti yang dilaporkan oleh media,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Tambah Mohd Shaani, secara peribadi, beliau berpendapat, pihak polis tidak sepatutnya menggunakan kekerasan terhadap peserta perhimpunan atas apa alasan sekalipun.




“Saya sempat meneliti aduan-aduan yang diterima melalui e-mel termasuk video dan mendapati dakwaan tersebut memang wujud.

“Malah saya juga dimaklumkan bahawa terdapat peserta perhimpunan yang ditahan ketika sedang menikmati makanan di gerai-gerai melewati jam 6 petang walaupun ketika itu perhimpunan sudah bersurai, hanya kerana mereka memakai kemeja-T kuning,” katanya.

Minggu lalu, Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk S. Ambiga berkata, beliau akan menyerahkan kepada Suhakam untuk menyiasat.

"Kami mahu Suhakam menjalankan siasatan bebas... mereka yang mencetuskan masalah hendaklah dikenal pasti termasuk mereka yang melanggar sekatan pihak berkuasa dengan merempuh pagar pengadang (di Dataran Merdeka)," katanya.

Beliau berkata, siasatan penuh perlu dibuat oleh Suhakam bagi mendapatkan maklumat termasuk arahan melepaskan gas pemedih mata dan air mengandungi bahan kimia serta arahan menutup operasi sistem pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT).

Gesaan yang sama dibuat oleh Ambiga semalam menerusi satu kenyataan.


EmoticonEmoticon