20 Jun, 2012

Euro 2012 - (Video Jaringan) England ke suku akhir tundukkan Ukraine 1-0

PASUKAN England berjaya mengungguli kumpulan selepas menumpaskan Ukraine 1-0 pada perlawanan terakhir saingan Kumpulan D, Euro 2012 di Stadium Donbass Arena, semalam.

Anak-anak didik Oleg Blokhin terpaksa menanggung kekecewaan di bumi sendiri dan situasi mereka senasib dengan tuan rumah bersama, Poland.

Pada babak pertama perlawanan, pasukan Ukraine menguji penjaga gol England, Joe Hart menerusi percubaan Denys Garmash apabila rembatannya melepasi palang gol pada minit ketujuh.

Selepas itu, Ukraine melancarkan serangan bertubi-tubi ke arah gawang England. Wayne Rooney hampir menjaringkan gol pertamanya tetapi tandukannya tersasar. Keputusan kekal sehingga waktu rehat.

Babak kedua bersambung, Wayne Rooney menjadi wira pasukan kerana berjaya memecah kebuntuan selepas menanduk masuk bola hantaran kapten, Steven Gerrard pada minit ke-48, hasil kesilapan dari penjaga gol, Andriy Pyatov. Ia merupakan gol pertamanya dalam kejohanan edisi kali ini.



Ayam tambatan "The Three Lions" itu diturunkan buat pertama kali Hodgson bergandingan dengan rakan sepasukannya di Manchester United, Danny Welbeck selepas berakhirnya penggantungan dua perlawanan awal kejohanan itu.

Selepas itu, insiden kontroversi berlaku, penyerang Ukraine, Marko Devic telah berjaya mengikat kedudukan tetapi golnya tidak dikira oleh pengadil. Mengikut ulang tayang, bola itu sudah melepasi garisan gol England namun, gol itu tidak dikira. Ia sekali gus menimbulkan reaksi kecewa pemain dan para penyokong tuan rumah.

Ukraine yang banyak mengasak sepanjang perlawanan dengan melakukan percubaan berbahaya bermain baik tetapi gagal untuk mencipta sebarang gol. Keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.




Ini merupakan perlawanan terakhir bagi peringkat kumpulan sebelum pusingan suku akhir membuka tirainya pada 21 Jun yang menyaksikan Republik Czech menentang Portugal.

Pada aksi pembukaan, England seri 1-1 dengan Perancis dan perlawanan kedua mereka merakamkan kemenangan dramatik 3-2 ke atas Sweden.

Ukraine pula menang 2-1 dengan Sweden pada perlawanan pertama dan tewas 2-0 ditangan Perancis selepas itu.

Rekod pertemuan terakhir mereka ialah pada Oktober 2009 dimana England tewas dengan Ukraine 1-0 dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2010.

Pasukan England akan bertemu naib juara Kumpulan C, Itali dalam saingan suku akhir.


EmoticonEmoticon