02 Jun, 2012

Pencegah Maksiat kini dilengkapi dengan pistol

Anggota penguat kuasa syariah wanita turut menjalani latihan menembak di Lapang Sasar Bukit Bubus, Tembila, Besut.
TEMBILA- Anggota Penguat Kuasa Pejabat Agama Islam Agama Daerah Besut atau lebih dikenal dengan pencegah maksiat turut dilengkapi senjata api bagi tujuan mempertahankan diri.

Pegawai Agama Daerah, Azmi Tengah berkata, beberapa pucuk pistol semi automatik dibekalkan kepada unit berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka sekiranya mendapat ancaman ketika melaksanakan tugas.

Menurutnya, namun begitu anggota terbabit tidak boleh melepaskan tembakan atau menggunakan senjata sembarangan sebaliknya perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Pistol antara keperluan bagi petugas unit ini kerana tugas mereka berdepan dengan pelbagai risiko namun hanya boleh digunakan untuk mempertahankan diri sekiranya keadaan mengancam nyawa mereka atau petugas lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Latihan Menembak Pejabat Agama Daerah Besut 2012 di Lapang Sasar Bukit Bubus, di sini, semalam. Latihan yang mendapat kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah itu adalah latihan kemahiran membabitkan sembilan anggota unit penguat kuasa yang diketuai Mohd Ali Pahmi Shafie serta jemputan.

Hadir sama dalam latihan menembak itu Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT), Che Mustafa Hamzah, pendakwa syarie dan kakitangan Mahkamah Rendah Syariah Besut.

Azmi berkata, lazimnya pihaknya mendapat kerjasama padu pihak polis ketika melakukan operasi. Beliau turut memberi amaran keras kepada umat Islam terutama pasangan muhrim agar tidak melakukan perbuatan tidak senonoh atau khalwat di daerah ini khususnya di chalet, tempat perkelahan dan pelbagai lokasi lagi kerana mereka yang ditangkap akan didakwa di Mahkamah Rendah Syariah.

Sementara itu, dalam latihan menembak tersebut setiap anggota diberi latihan mengendalikan pistol dengan betul, keselamatan menggunakan pistol dan menembak sasaran kertas menggunakan peluru hidup pada jarak 20 meter.

Sinar


EmoticonEmoticon