02 Jun, 2012

Persahabatan Bola Sepak - Malaysia hanya mampu seri dengan Filipina

PERLAWANAN persahabatan antarabangsa Malaysia menentang Filipina di Stadium Shah Alam malam ini berakhir dengan keputusan tanpa jaringan.

Beraksi di babak pertama, kedua-dua pasukan menampilkan permainan seimbang dan mengasak ke kubu lawan masing-masing dihadapan 20,000 penyokong di Stadium Shah Alam.

Begitupun, pada minit kedua permainan, pemain sayap, Shahurain Abu Samah hampir mengejutkan Filipina apabila tandukannya melepasi palang gol hasil sepakan percuma oleh kapten, Safiq Rahim.

Percubaan bahaya diteruskan oleh penyerang sensasi Pelita Jaya, Safee Sali merembat leret bola ke arah gawang pasukan lawan tetapi tersasar pada minit ketujuh permainan.

Tersentak dengan serangan Harimau Malaya, pasukan Filipina mengatur serangan namun berjaya dikawal penjaga gawang negara, Farizal Marlias.

Safee hampir menemui sentuhan jaringan menerusi gerakan satu dua bersama S. Kunalan dan Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-16.

Namun, tendangan bekas pemain Selangor itu berjaya didakap kemas oleh penjaga gawang 'The Azkal', Richards Muller.

Penyerang Filipina, Denis Wolf hampir menjaringkan gol selepas melepasi benteng pertahanan negara dalam kotak penalti apabila sepakannya sedikit tersasar sambil Farizal sudahpun tertewas pada minit ke-31.

Pada masa kecederaan babak pertama, Shahurain sekali lagi membuat kejutan apabila rembatannya terkena tiang gol Filipina.

Bersambung pada babak kedua, Harimau Malaya yang berjersi serba biru kembali mengatur strategi dengan serangan bertali arus terhadap Filipina tetapi masih gagal untuk menghasilkan gol sulung negara sepanjang 20 minit awal permainan.

Filipina dilihat banyak menyerap asakan tuan rumah sambil sekali sekala melakukan serangan ke kubu skuad Harimau.

Barisan pertahanan negara yang diterajui oleh Aidil Zafuan begitu berdisiplin sering kali mematahkan asakan pasukan pelawat.

Kedua-dua pasukan buntu untuk mencipta gol dan keputusan kekal sehingga tamat perlawanan.

Sebagai rekod, Harimau Malaya pernah menentang Filipina pada Febuari lalu yang menyaksikan mereka seri 1-1 di Stadium Memorial Rizal, Manila.

Pada aksi seterusnya, pasukan kebangsaan akan bertemu Singapura pada 8 Jun di Stadium Jalan Besar sebelum dijadual berentap kembali dengan lawan yang sama di Stadium Shah Alam pada 12 Jun ini.

SENARAI KESEBELASAN UTAMA
MALAYSIA: Farizal Marlias, Bunyamin Umar, Aidil Zafuan, Fadhli Shas, Azmi Muslim, Shahurain Abu Samah, K. Gurusamy, Safiq Rahim (K), S. Kunalan, Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali.

FILIPINA: Richard Muller (PG), Robert James Gier, Juan Luis Guirado, Jason Abbot Sabio, Angel Guirado, Emelio Caligdong (K), Stephan Markus Schrock, Manuel Ott, Carlos Alberto De Murga, Denis Wolf, Paul Mulders.

Sinar


EmoticonEmoticon