26 Julai, 2012

Olimpik 2012: Nur Suryani jadi tumpuan media Amerika

NEW YORK - Keazaman atlet hamil Malaysia Nur Suryani Mohamed Taibi, 29, untuk memenangi pingat dalam acara menembak pada sukan Olimpik London, bukan saja menarik perhatian ramai penulis blog, malah akhbar terkemuka seperti New York Daily News, New York Times dan Columbus Despatch.

Menang atau kalah memang adat pertandingan, tetapi dalam hal ini, yang pasti, Nur Suryani, pakar dalam acara 10 meter air-rifle, sudah berjaya menarik perhatian kolumnis dan pemberita yang kagum dengan rekod yang bakal diciptanya sebagai peserta yang menyertai sukan Olimpik ketika mengandung lapan bulan.

Dalam laporannya mengenai Nur Suryani, New York Daily News antara lain menulis "penyertaan wanita paling sarat mengandung dalam sejarah sukan ternama ini."

Perkara yang mengagumkan peminat Nur Suryani di seluruh dunia ialah sikapnya yang berpegang teguh dengan semangat "Malaysia Boleh" - azimat yang menjadi pembakar semangat kebanyakan rakyat Malaysia untuk maju dalam segenap lapangan.

Kata-kata atlet ini kepada The New York Times menampakkan sikap serta semangatnya yang bertaraf universal. Katanya: "Bagi saya, tiada apa yang mustahil. Ini suatu cabaran. Jika saya mengalah kali ini, saya kena tunggu empat tahun lagi. Mungkin, ketika itu, peluang untuk saya sudah tiada lagi."

Penyertaan Nur Suryani mendorong media Amerika membuat spekulasi tentang jumlah wanita hamil yang menyertai sukan Olimpik setakat ini. Fakta mengenainya sukar diperoleh kerana Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa tidak mempunyai rekod tentang perkara itu.

Bagaimanapun, menurut akhbar itu, sekurang-kurangnya tiga wanita hamil telah beraksi pada sukan Olimpik dan itupun Sukan Olimpik Musim Sejuk Antarabangsa. Kali terakhir melibatkan jaguh acara Curling Kanada Kristie Moore, yang bertanding pada Olimpik Vancouver 2010 ketika hamil lima bulan setengah.

Penyertaan atlet ini menjadi lebih sensasi apabila dia memenangi pingat perak bagi acara itu.

Bagaimanapun, terdapat beberapa kes wanita hamil mengambil bahagian dalam pertandingan sukan, selain sukan Olimpik. Amber Miller, 27, turut mencipta sensasi apabila dia menyertai Chicago Marathon tahun lepas ketika hamil 39 minggu dan melahirkan bayi perempuan hanya beberapa jam selepas acara itu.

Media Amerika melaporkan Nur Suryani sebagai berkata dia ingin melahirkan anaknya dengan cara yang betul. Sebuah akhbar melaporkan wanita bersemangat waja ini "membelai anak yang dikandungnya dengan kata-kata penuh kasih sayang".


Sebenarnya, Nur Suryani hampir terlepas peluang untuk menyertai Olimpik London kerana pakar sukan Malaysia bimbang keadaannya yang sarat mengandung tidak mengizinkan atlet ini bertanding dengan selesa.

Nur Suryani menduduki ranking ke-47 di dunia dan doktor membenarkannya membuat perjalanan ke luar negara.

New York Times memetik atlet ini sebagai berkata apabila tua kelak, dia akan berkata kepada anaknya: “Kamu sungguh bernasib baik. Belum lahir lagi, kamu sudah menyertai sukan Olimpik!" - Bernama


EmoticonEmoticon