21 Julai, 2012

Pelakon dan Penyanyi, Ezad bakal nikah dengan pengurus sendiri

Penyanyi dan pelakon, Ezad Lazim, dalam diam-diam merancang untuk bernikah dengan pengurus peribadinya, Norasliza Abdullah, 28, pada tahun ini.

Mereka sudah pun bertunang pada 1 Jun lalu di Shah Alam, Selangor. Ezad atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, 33, adalah bekas penyanyi kumpulan Exists yang meletup dengan lagu Mengintai Dari Tirai Kamar dan Jesnita.

Ketika Juwie menghubunginya pada jam 1 pagi 6 Julai lalu, Ezad memberitahu, pada mulanya rombongan keluarganya merancang untuk merisik Norasliza pada tarikh itu tetapi akhirnya terus bertukar menjadi majlis pertunangan.

Lihatlah foto Ezad (berkaca mata) dan Norasliza (tengah) bersama-sama kanak-kanak pengiring pada majlis pertunangan mereka.

“Insya-Allah, tarikh dan tempat majlis pernikahan akan dimaklumkan kemudian. Hantaran belanja kahwin dirahsiakan. Cuma, saya berikan sebentuk cincin permata. Saya kenal Norasliza hampir empat tahun bermula di rumah seorang rakan artis. Dia orang Kuala Lumpur dan lulusan Diploma Teknologi Maklumat.




“Norasliza seorang yang tegas, berdikari, menghormati orang tua, sentiasa mengambil berat dan sangat sensitif. Sifatnya itulah yang berjaya menawan hati saya,” cerita Ezad yang pernah berlakon dalam filem Mami Jarum.

Lagu terbaru Ezad berjudul Percintaan Ini sering masuk carta radio. Dia juga sedang siapkan album solo kedua dan dalam rangka promosi membuat showcase di Indonesia. Ezad juga sedang mengembangkan perniagaan minyak wangi yang diusahakannya sejak tahun lalu.


EmoticonEmoticon