10 Ogos, 2012

Kita bersedia ditolak jika tidak kotakan janji, kata Najib

KUALA TERENGGANU - Kerajaan sedia ditolak sekiranya tidak berjaya memenuhi janji kepada rakyat. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, janji adalah sendi kepada masyarakat dan ia bukan satu permainan politik.

“Kita bersedia ditolak oleh rakyat jika tidak kotakan janji.

“Dalam soal ini kita bukan bermain politik, tetapi apa yang penting kita jangan sekadar bercakap, tetapi tidak tunaikan,” katanya pada Majlis Penyampaian Dana Khas Hari Raya di Kampung Padang Nenas, semalam.

Dalam ucapannya, Najib turut menegaskan, tema sebenar kerajaan ialah berpaksikan kepada Islam, bukannya berpaksikan kepada politik.

“Rakyat tidak perlu gusar kerana kita berada pada landasan betul. Apa yang kita buat berlandaskan al-Quran dan sunnah. “Kita berjuang untuk tunaikan janji kita kepada rakyat.

Dengan sokongan rakyat, saya harap Malaysia dinobatkan negara Islam pertama bergelar negara maju,” katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri dan Adun Tepoh, Muhammmad Ramli Noh.

Pada majlis itu, Najib menyampaikan Sumbangan Ehsan Ramadan RM170,000 kepada 1,000 orang kurang berkemampuan.


EmoticonEmoticon