15 September, 2012

Ahmad Maslan: Jangan tertipu perang psikologi pembangkang

KOTA KINABALU - Rakyat Sabah tidak seharusnya tertipu dengan perang psikologi pakatan pembangkang yang terus meuar-uarkan kononnya ramai lagi pemimpin Barisan Nasional (BN) termasuk daripada Umno yang akan menyertai mereka, sekali gus mencerahkan peluang mereka ke Putrajaya.

Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan berkata ia hanya 'perang psikologi' parti pembangkang yang mula merasakan kebangkitan BN dan sengaja membangkitkan isu itu bagi menarik perhatian dan mengambil hati rakyat di negeri ini.

"Pada pandangan saya, apa yang berlaku di Sabah ini tidak membimbangkan dan untuk makluman pemimpin kita di Sarawak dan Semenanjung, percayalah bahawa apa yang berlaku di Sabah ini hanyalah gelombang kecil yang sudah terhenti.

"Mereka sebenarnya hanya ingin menimbulkan perang psikologi, kononnya ada ramai lagi pemimpin BN akan menyertai Datuk Lajim (Ukin), bekas anggota Majlis Tertinggi Umno) dan Datuk Wilfred Bumburing (bekas Timbalan Presiden Upko yang kini menyokong perjuangan pakatan pembangkang)," katanya.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Penerangan Umno bahagian Kota Kinabalu Junaidi Datuk Rahman di Luyang dekat sini malam tadi.

Beliau yakin perkara itu tidak akan berlaku kerana keadaan dan suasana politik di sini semakin tenang.

"Kita amat yakin Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman boleh mengurus dengan baik segala apa yang berlaku di Sabah.

"Jangan risau kepada kepimpinan di Semenanjung dan Sarawak yang tidak dapat turun bersama di Sabah .... saya ada bukti dan melihat sendiri bukti jelas dan berdasarkan pengamatan saya turun ke Sabah, Saya yakin Umno dan BN Sabah terus utuh," katanya.

Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata Sabah masih kekal sebagai kubu kuat BN.

"Cerita-cerita bahawa BN akan kalah di Semenanjung dan Sarawak dan oleh itu orang Sabah kena ikuti apa yang berlaku di sana -- hanyalah mimpi di siang hari".

"Pada saya itulah hasrat pembangkang untuk memerintah Malaysia ini. Apakah mereka fikir kita akan berdiam diri? Kita tidak berdiam diri, Umno dan BN serta 13 parti komponen BN langsung tidak akan berdiam diri.

"Kita juga akan mempertahankan habis-habisan Putrajaya, Kota Kinabalu, Kuala Lumpur dan semuanya kita akan pertahankan dan mana yang kita terlepas, kita akan berusaha untuk menawannya. Percayalah, jangan kita termakan dengan perang psikologi pembangkang," katanya.

Ahmad berkata: "Empat negeri yang kini diperintah pakatan pembangkang pun dalam keadaan lintang-pukang dari pelbagai segi dan inikan pula kononnya ingin menawan negeri-negeri yang di bawah kita".

Mengenai pilihan raya umum, beliau berkata terserah kepada kepada kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menentukan tarikh atau masa yang sesuai.

"Pada kita, bila-bila pun boleh, yang penting tahap kesiapsiagaan kita sudah mencapai tahap terbaik. Selalu kita tanya bila pilihan raya? Kalau persiapan kita sudah mencapai 80 hingga 90 peratus, apabila pembubaran diumumkan kita hanya tambah 10 hingga 20 peratus usaha untuk memperbaiki dan memantapkan lagi persediaan kita," katanya.

Ahmad berkata seperti yang selalu dinyatakan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, pilihan raya kali ini luar
biasa, "maka persiapan kita juga kena luar biasa".

"Kita jangan pergi berperang dengan persediaan biasa kalau menghadapi perang yang luar biasa," katanya. - Bernama


EmoticonEmoticon