29 September, 2012

Jose Maurinho pertahan Terry

PARIS - Bekas bos Chelsea, Jose Mourinho tampil mempertahankan John Terry kelmarin dengan menegaskan pemain pertahanan kontroversi itu bukan berbaur perkauman.

Terry dikenakan penggantungan empat perlawanan dan denda 220,000 pound (RM1.1 juta) selepas didapati bersalah mencemuh pemain QPR, Anton Ferdinand dengan kata-kata berbaur perkauman.

Pemain 31 tahun itu mempunyai 14 hari selepas dia menerima alasan bertulis berhubung keputusan pendengaran untuk membuat rayuan.

"Dia bukan perkauman, 100 peratus bukan. Kami (Chelsea) mempunyai skuad yang dianggotai 12 pemain Afrika. Ia merupakan skuad yang hebat dan hubungan sesama pemain sangat erat," tegas Mourinho yang membimbing Chelsea dari 2004 hingga 2007, kepada CNN.

Mourinho yang kini melatih Real Madrid, menambah: "Namun dalam perlawanan bola sepak, ada kalanya kamu bertindak balas tanpa berfikir dua, dan ia tidak menunjukkan keperibadian diri kamu yang sebenar. Saya tahu ia boleh berlaku.

"Mungkin, dia mengeluarkan komen berbaur perkauman atau mempunyai tanggapan buruk terhadap lawannya, memang dalam bola sepak, ada kecenderungan untuk kita melihat pemain lawan dari sudut yang salah.

"Jadi, dia harus dihukum. Tetapi, tolonglah, jangan kata dia bersikap perkauman kerana saya tahu (Didier) Drogba, Geremi, (Claude) Makalele semua akan sepandangan dengan saya dan mereka tahu John bukan begitu." - AFP


EmoticonEmoticon