07 September, 2012

PAS dakwa akta hudud akan dibentangkan di Parlimen

PETALING JAYA: PAS mendakwa satu rang undang-undang berkaitan akta pelaksanaan hudud akan dibentangkan dalam Dewan Rakyat pada sesi Parlimen 24 September depan.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata berdasarkan sumber daripada Jabatan Perdana Menteri, akta itu akan mula dibentangkan selepas mendapat persetujuan Kabinet.

“Perkara ini juga telah dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Namun Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz dalam responnya menyanggah dakwaan tersebut.

“Tidak betul sama sekali. Ia satu pembohongan,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (sms).

Polemik hudud timbul apabila berlaku perselisihan antara PAS dan DAP yang memberikan pandangan berbeza mengenai pelaksanaan hudud dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

‘Bersetuju untuk tidak bersetuju’

Walaupun kata sepakat ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dicapai dalam Pakatan Rakyat, namun isu hudud masih dipersoalkan dalam kalangan pemimpin pembangkang.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga sebelum ini bertegas hukum hudud tidak akan dilaksanakan di peringkat Pusat.

Beliau berkata walaupun ia undang-undang Tuhan namun hukum itu tidak sesuai dilaksanakan kerana perlu berpaksikan kepada realiti yang ada di negara ini.

Walau bagaimanapun, Najib berkata ia juga tidak bermakna tiada undang-undang Islam dilaksanakan sama sekali di Malaysia.

“Kalau ditanya kepada pandangan ulama Islam, undang-undang Islam tidak boleh dilaksanakan melainkan dengan ambil kira realiti dan persekitaran.

“Lagipun matlamat pentadbiran mengikut Islam tergolong dalam maqasid syariah yang bermatlamat mempertahankan agama, nyawa, harta-benda dan akhlak….dengan undang-undang yang ada sekarang, prinsip dan matlamat itu boleh dipertahan dan diperjuangkan,” katanya.

1 comments so far

HDUDU PRU AJE, LEPAS TU SENYAP SEMUALA,


EmoticonEmoticon