29 September, 2012

Penyokong demo desak Che Mat Jusoh letak jawatan

KUALA TERENGGANU –Penyokong pasukan bola sepak Terengganu mengadakan demonstrasi hari ini mendesak Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSNT) Datuk Che Mat Jusoh meletak jawatan walaupun Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menasihati agar tidak berbuat demikian.

Kira-kira 500 penyokong pasukan bola sepak Terengganu mengadakan demonstrasi aman di kawasan parkir di hadapan Pusat Akuatik bermula jam 10.30 pagi bagi menyatakan pendirian mereka supaya satu perubahan besar dilakukan dalam pentadbiran tertinggi PBSNT.

Perhimpunan kumpulan dengan kempen Asal Bukan Che Mat (ABC) itu pada awalnya dirancang diadakan di hadapan kediaman rasmi Menteri Besar bagi menyerahkan memorandum kepadanya, namun bertukar lokasi atas sebab tertentu.

Peserta demonstrasi, Khairul Fakhruddin Sulaiman, 23, berkata, mereka mendesak supaya PBSNT di struktur semula melalui satu rombakan besar-besaran dan satu dialog terbuka diadakan bersama persatuan itu.

“Kita mahu mereka ubah cara pengurusan daripada persatuan kepada korporat supaya pengurusan PBSNT nampak lebih profesional. Sepatutnya, dalam PBSNT perlu ada badan berkepentingan untuk menjaga dan membantu pentadbiran persatuan.

“Terdapat beberapa unit diperlukan untuk memainkan peranan penting dalam PBSNT antaranya unit perancang ekonomi, sekretariat perhubungan awam dan tajaan bagi melahirkan jawatankuasa kerja yang efektif dan lengkap dalam segenap aspek,” katanya.

Dakwanya, pemimpin persatuan itu tidak memiliki integriti, daya saing, semangat berdikari malah terlalu bergantung serta mengharapkan bantuan daripada Kerajaan Negeri.

“Bayangkan kalau 70 peratus pendapatan persatuan daripada Kerajaan Negeri, mana keupayaan persatuan untuk berdikari? Jadi, muncul pelbagai masalah yang berpunca daripada ketidakupayaan mengurus persatuan dengan baik seperti kelewatan bayaran gaji pemain dan pelbagai masalah lain,” katanya.

Khairul Fakhruddin berkata, kempen ABC tidak akan berakhir selagi tiada perubahan besar dalam PBSNT dan mereka akan terus mendesak supaya satu dialog terbuka diadakan bersama Presiden PBSNT itu.

“Kami mahu satu dialog terbuka diadakan untuk berbincang mengenai kemelut yang melanda dalam pasukan Terengganu.

“Seandainya telah ada satu perubahan besar-besaran dilakukan dalam PBSNT, kami akan mengadakan satu majlis kesyukuran bagi menghargai jasa dan pengorbanan presiden persatuan selama ini selain meraikan wajah baru dalam pentadbiran persatuan,” katanya.

Sinar


EmoticonEmoticon