10 September, 2012

(Video Jaringan) Piala SCTV: Harimau baham Garuda U22 1-0

Pemain ATM, K.Reuben menjadi wira Malaysia B22 apabila gol tunggalnya berjaya memberikan kemenangan ke atas Indonesia B22.

Pasukan Malaysia Bawah-22 telah diundang untuk menyertai Piala SCTV menentang pasukan Indonesia Bawah-22 di Jakarta, Indonesia sempena ulang tahun yang ke-22 stesyen televisyen popular di Indonesia itu.

Perlawanan di Stadium Gelora Bung Karno itu berpihak kepada pasukan Harimau Muda selepas mereka berjaya menumpaskan Garuda Muda 1-0 hasil jaringan pemain ATM, K.Reuben pada minit ke-42.

Perlawanan bermula agak perlahan pada mulanya dengan satu percubaan oleh Wan Zaharulnizam melalui sepakan percuma tetapi tersasar.
Harimau Muda yang turun dengan beberapa pemain tambahan seperti Nik Shahrul dari Kelantan dan K.Reuben dari ATM itu tampak serasi dan mudah menyesuaikan diri.

Rozaimi Abd Rahman dari Sabah dan Azrif Nasrulhaq yang turut dipanggil oleh Ong Kim Swee walaubagaimanapun tidak diturunkan kerana mengalami kecederaan.

Pasukan Indonesia tumpul di bahagian serangan namun tetap berjaya menguji penjaga gol Harimau Muda, Izham Tarmizi sebanyak dua kali pada separuh masa pertama.

Namun, asakan pemain Harimau Muda memberikan hasil apabila K.Reuben merembat bola dari jarak jauh untuk meletakkan Malaysia 1-0 di hadapan pada minit ke-42.

Separuh masa kedua dimulakan dengan beberapa lagi asakan dari Indonesia yang cuba mendapatkan gol penyamaan.

Ong Kim Swee turut melakukan beberapa perubahan dalam pasukan dengan menggantikan Saiful Riduan dengan Ferris Danial dan Azzizan Nordin menggantikan Ahmad Hazwan.

Tiada sebarang jaringan yang dilakukan oleh kedua-dua pasukan pada separuh masa kedua dan perlawanan tamat dengan keputusan separuh masa pertama, Indonesia 0-1 Malaysia.

Pasukan senior Indonesia akan bertemu Korea Utara esok.


EmoticonEmoticon