18 Oktober, 2012

Peter Butler bebas hukuman

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini membatalkan hukuman gantung yang dikenakan oleh Persatuan Bola Sepak Terengganu (PBSTN) terhadap bekas jurulatih Terengganu, Peter Butler.

Ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufik Abdul Razak di Wisma FAM, hari ini.

"Setelah kesemua ahli jawatankuasa bersidang dan mendengar serta meneliti dokumen yang dikemukakan, kami mendapati hukuman gantung tersebut adalah tidak sah.

"Ini kerana jawatankuasa berpendapat hukuman tersebut tiada hitam putih," kata Taufik.

Pada pertengahan bulan lalu, Jawatankuasa Tatatertib Persatuan PBSNT memutuskan untuk menggantung Butler selama enam bulan dan mengenakan denda RM4,000 terhadap jurulatih dari England itu.

Pengerusi jawatankuasa itu, Ahmad Shukri Zakaria berkata, Butler dikenakan hukuman itu bagi kesalahan mengeluarkan kenyataan kepada media berhubung dakwaan salah laku dua pemain Terengganu membawa wanita masuk ke bilik mereka tanpa terlebih dahulu melaporkannya kepada pihak pengurusan.

Tambah Taufik, pembatalan ini turut dibuat setelah jawatankuasa melihat hukuman yang dikenakan ke atas Butler juga tidak mengikut peruntukkan yang telah ditetapkan oleh FAM.

"Sepatutnya jawatankuasa yang ditubuhkan oleh PBSNT perlulah bebas daripada sebarang jawatan.

"Namun perkara ini terjadi sebaliknya apabila hanya seorang pengerusi iaitu Ahmad Shukri Zakaria sahaja yang bebas, manakala yang lain berjawatan.

"Jadi, hukuman ke atas Butler automatik terbatal," jelas Taufik lagi.

Dalam pada itu, Taufik turut menjelaskan bahawa kontrak Butler bersama skuad Terengganu masih lagi berkuat kuasa.

"Apabila hukuman dibatalkan, maka kontrak Butler masih sah bersama Terengganu," jelas beliau.

Selepas dikenakan hukuman, Butler telah digugurkan dari jawatannya.

Hari ini, Terengganu mengumumkan pelantikan jurulatih baru.


EmoticonEmoticon