04 Oktober, 2012

Ramai pemimpin PR layak jadi MB...belum menang dah sibuk berebut

SHAH ALAM – Pakatan Rakyat (PR) mempunyai ramai pemimpin yang layak menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), kelak.

Pesuruhjaya Pas Negeri, Dr Abd Rani Osman berkata, adalah tidak mustahil siapa pun dalam kalangan pemimpin PR negeri itu, bakal diangkat menjawat jawatan tersebut pada masa akan datang.

“Tiada apa yang mustahil (dalam pemilihan calon menteri besar dalam PR). Mungkin (Mohamed) Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR) atau mungkin juga saya (boleh diangkat jadi menteri besar).

“Kita ada tiga parti (Pas, PKR dan DAP) dan hanya kepimpinan tertinggi parti akan menentukan (calon menteri besar) dalam mesyuarat bersama jika kita menang PRU13,” katanya ketika diminta mengulas bayangan calon menteri besar jika PR berjaya mengekalkan pemerintahan mereka di Selangor.

Semalam, Sinar Harian menyiarkan kenyataan Azmin yang juga Pengerusi PKR Selangor bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mungkin tidak akan menjadi menteri besar sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya, nanti.

Azmin berkata, keputusan berkenaan, kemungkinan besar dibuat PR atas kewibawaan serta kepakaran yang ditunjukkan Abdul Khalid sepanjang satu penggal menjadi ketua pentadbir negeri, namun ia masih belum dimuktamadkan.

Dr Abd Rani bagaimanapun menegaskan, misi utama PR ketika ini hanyalah berusaha menumbangkan Barisan Nasional (BN), selain meraih kemenangan dalam PRU13, sebelum serius berbincang mengenai pemilihan menteri besar.

Sementara itu, Ketua Penerangan PKR Negeri, Shuhaimi Shafiei berkata, kedudukan menteri besar, exco atau calon yang bakal bertanding pada PRU13 itu masih belum diputuskan, dan ia hanya akan ditentukan presiden atau pemimpin kanan parti.

“Jadi atau tidak (menteri besar), ia hanya akan ditentukan selepas kita meraih kemenangan. Walaupun demikian, sebagai ahli, kita akan akur di mana saja kami ditempatkan, bertanding atau tidak,” katanya.

Beliau secara peribadinya berpendapat, Abdul Khalid mempunyai komitmen dan prestasi jauh lebih baik berbanding dengan menteri besar di bawah pentadbiran BN.

Ditanya kemungkinan Mohamed Azmin bakal diangkat sebagai Menteri Besar Selangor yang baru, Shuhaimi menyifatkan, Ahli Parlimen Gombak itu layak sama ada memegang jawatan itu atau menjadi menteri.

“Saya tak fikir sebagai orang nombor dua dalam parti (PKR), beliau akan pikul tanggungjawab di peringkat negeri, sebaliknya lebih diperlukan di peringkat Pusat. Namun sekiranya kepimpinan parti memutuskan demikian, saya lihat beliau layak mengisi kedua-dua jawatan tersebut sama ada sebagai menteri besar atau menteri.

“Saya tidak mahu sensasikan isu ini, cukuplah buat masa ini kita fokus tumbangkan BN dan menang lebih banyak kerusi Parlimen untuk menawan Putrajaya. Kita akan mengadakan ‘Jelajah Selangor Tawan Malaysia’ bermula 14 Oktober ini,” katanya.

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok ketika dihubungi bagaimanapun enggan mengulas lanjut soal kerana ia berkaitan perkara dalaman parti.


EmoticonEmoticon