23 November, 2012

Kredibiliti Rajagobal mula diragui

LAWATAN mengejut Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah yang diadakan secara tertutup di auditorium Wisma Kelana Jaya selama hampir dua jam kelmarin, mengundang pelbagai spekulasi.

Selain dilihat sebagai motivasi tambahan buat pemain ketika tekanan yang mereka rasai semakin memuncak menjelang perlawanan pertama menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad ini, perbincangan hati ke hati itu juga dikatakan banyak tertumpu kepada aspek corak permainan, moral pemain serta dari segi pengurusan.

Malah menurut sumber, pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal juga terkena tempias apabila kredibilitinya sebagai jurulatih skuad kebangsaan turut diragui selepas diikat 1-1 oleh pasukan bawahan, Bangladesh yang beraksi 10 pemain, Selasa lalu.

Sementara itu, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin ketika ditemui semalam, berkata: "Sultan Ahmad Shah mengadakan perbincangan daripada hati ke hati bersama pemain, turut meluahkan rasa kecewa terhadap prestasi pemain yang ditunjukkan dalam beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Bagaimanapun, baginda masih yakin dengan kemampuan skuad kebangsaan di bawah kendalian Rajagobal," katanya.

Jika sebelum ini, program motivasi tiga hari di Pulau Pangkor dipilih untuk mengembalikan kesegaran walaupun hasilnya tidak seperti yang digambarkan, Rajagobal kini mengakui tiada apa lagi yang boleh dilakukan dalam tempoh kritikal ini melainkan menaikkan semula moral pemain.

Selepas ini, tiada lagi eksperimen buat Rajagobal, apa yang tinggal hanyalah keputusan. Sama ada mempertahankan Piala AFF Suzuki yang dimenangi pada tahun 2010 ataupun menunaikan janjinya untuk meletakkan jawatan sekiranya gagal dalam misi tersebut.


EmoticonEmoticon