27 November, 2012

Mat Yo kini bebas dari Kelantan, besok boleh buat hatrik! Heh!

KEMELUT antara Norshahrul Idlan Talaha dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) akhirnya menemui jalan penyelesaian apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini memutuskan bahawa pemain paling bernilai itu kini 'bebas' daripada sebarang kontrak dengan Kafa.

Ini diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Datuk Takiyuddin Hassan di Wisma FAM, hari ini.

"Setelah mendengar dan meniliti dokumen yang dikemukakan, maka jawatankuasa yang bersidang memutuskan bahawa kontrak Norshahrul atau dikenali Mat Yo tamat dan berkuat kuasa hari ini.

"Hari ini juga secara rasminya, wakil Kafa yang hadir di hadapan Jawatankuasa Status turut mengesahkan bahawa pihak mereka tidak akan mendaftar nama Mat Yo bagi mewakili Kelantan pada tahun 2013.

"Jadi, Mat Yo kini bebas dan boleh beraksi dalam mana-mana pasukan lain musim depan," katanya.

Menurut Takiyuddin, setelah kontrak tersebut ditamatkan, maka dari segi undang-undang, pemain tersebut boleh didaftarkan oleh mana-mana pasukan yang berminat untuk mengambilnya dalam liga Malaysia musim depan.

"Apabila diumumkan telah bebas, maka dia sudah tidak terikat dengan Kafa. Jadi mana-mana pasukan boleh mendaftarnya untuk musim depan.

"Begitu pun, pihak terbabit perlulah mematuhi setiap syarat yang ditetapkan," ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Takiyuddin turut menjelaskan bahawa pemain yang menamatkan kontraknya secara sebelah pihak, perlu membayar baki bayaran kontraknya kepada pasukan asal.

"Mengikut perkara 8.5 kontrak pemain - pemain yang menamatkan kontrak sebelah pihak perlu mmbayar baki kontraknya kepada pasukan asal.

"Dan kami dimaklumkan kontrak Mat Yo dengan Kafa masih berbaki setahun, jadi, Mat Yo perlu membayarnya.

"Jumlah bayaran tersebut bagaimanapun tidak dapat dijelaskan hari ini," kata beliau.

Tambah Takiyudin, "Mat Yo perlu membuat secara afidavit mengenai jumlah bayaran yang perlu dibayar kepada Kelantan, seperti mana yang diminta oleh Kafa."

"Dan Kelantan akan menjawab dalam bentuk affidavit jawapan.

"Apabila ada afidavit dan jawapan, barulah FAM akan memanggil untuk mendengar isu berkaitan tebusan kontrak dan lain-lain.

"Selepas itu, baru kami akan putuskan mengenai jumlah bayaran tersebut," jelasnya lagi.


EmoticonEmoticon