25 November, 2012

Piala AFF 2012: Singa baham Harimau 3-0

Harimau Malaya mengalami kekalahan 0-3 kepada musuh ketat Singapura pada hari Ahad dalam perlawanan Kumpulan B Piala Suzuki di Stadium Bukit Jalil.

Singapura telah diberikan sepakan percuma seawal minit ke-4 selepas Aidil Zafuan menjatuhkan Khairul Amri. Sepakan percuma oleh Shahdan Sulaiman berjaya dikawal oleh pertahanan Malaysia, Fadhli Shas.

Tiga minit selepas itu, Norhsharul Idlan telah mendapat peluang yang baik dihdapan gol tetapi tidak berjaya.

Harimau Malaya terus mengasak dan mendapat sepakan percuma pertama pada minit ke-11 selepas Norhshahrul dikasari oleh pertahanan Singa, Safuwan Baharudin namun sepakan percuma Aidil hanya terkena benteng Singapura.

Norshahrul sekali lagi nampak berbahaya dengan menggelecek bola dari tengah tetapi telah dikasari Hariss Harun pada minit ke-15 dan sepakan percuma kedua diberi kepada Malaysia.

Sekali lagi benteng pertahanan Singapura berjaya menghalang sepakan percuma Malaysia yang kali ini dilaksanakan oleh Safiq.
Singapura mula bangkit selepas itu dengan Mustafic membuat rembatan jarak jauh pada minit ke-18 namun tersasar.

Kunalan kemudian dengan pantas mara dari kiri dan membuat hantaran kepada Norshahrul namun percubaannya tidak membuahkan hasil.

Pada minit ke-25 Harimau Malaya sekali lagi diberikan sepakan percuma tetapi penjaga gol Singapura, Izwan seperti sudah dapat membaca gerakan Safiq dan berjaya menangkap kemas sepakannya.

Lima minit selepas itu Singapura mendapat peluang terbaik apabila rembatan oleh Shahdan Sulaiman hasil hantaran Shahril tersasar.

30 minit perlawanan berlangsung, kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang namun masih gagal menguji penjaga gol masing-masing.

Pada minit ke-32, kapten Shahril Ishak mengejutkan Stadium Bukit Jalil dengan menjaringkan gol pertama perlawanan hasil hantaran Shaiful Esah.

Enam minit selepas itu, Shahril sekali lagi menjaringkan tandukan kemas dan meletakkan Singapura 2-0 mengatasi Harimau Malaya.

Jurulatih Harimau Malaya, Datuk K.Rajagobal melakukan perubahan dalam pasukan bermulanya separuh masa kedua dengan membawa masuk Wan Zack Haikal menggantikan Khyril Muhymeen.

S.Kunalan melakukan gerakan cantik dari kiri dan membuat hantaran ke dalam kotak penalti pada minit ke-58 namun terlalu tinggi untuk ditanduk oleh Safee Sali.

Dua minit selepas itu, perubahan dilakukan pada benteng pertahanan Malaysia apabila Mahali Jasuli masuk menggantikan Azmi Muslim.

Malaysia masih terus berusaha untuk mendapatkan jaringan. Norshahrul mendapat peluang yang baik pada minit ke-65 apabila membuat hantaran ke dalam kotak penalti dari kiri tetapi telah dihalang oleh Shaiful Esah.
Shaiful Esah mengalami kecederaan pada minit ke-69 dan telah digantikan dengan Irwan Shah.

Malaysia kemudian melakukan serangan balas seminit selepas itu apabila Mahali mara dari kanan mencari Safee Sali di kotak penalti, namun percubaannya berjaya ditangkap oleh Izwan.

Aleksandar Duric telah diamsukkan menggantikan penjaring dua gol Singapura, Shahril Ishak pada minit ke-74.

Sejurus selepas dimasukkan, Duric menjaringkan gol ketiga untuk Singapura hasil hantaran lintang oleh Shahdan Sulaiman.

Perubahan ketiga dilakukan dalam skuad Malaysia pada minit ke-79 apabila Amar Rohidan digantikan dengan Azamuddin Akil.

Malaysia telah cuba melancarkan serangan bertubi-tubi tetapi benteng pertahanan Singapura berjaya menagani ancaman dan pasukan pelawat yang berjaya membuat gerakan serangan tetapi keputusan kekal hingga minit terakhir.

Malaysia: Khairul Fahmi, Bunyamin Umar (Mahalli Jasuli 60'), Aidil Zafuan, Fadhli Shas, Azmi Muslim, Khyril Muhymeen Zambri (Wan Zack Haikal 46'), Amar Rohidan (Azamuddin Akil 78'), Safiq Rahim, S. Kunanlan, Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali.

Singapura: Izwan Mahbud, Daniel Bennett, Baihakki Khaizan, Safuwan Baharudin, Shaiful Esah (Irwan Shah 69'), Shi Jiayi (Fazrul Nawaz 90'), Mustafic Fahrudin, Hariss Harun, Shahdan Sulaiman, Shahril Ishak (Aleksandar Duric 73'), Khairul Amri.

Espnstar.my


EmoticonEmoticon