15 November, 2012

Safee Sali kecewa keputusan seri memalukan Harimau Malaya

KECEWA! itulah keluhan yang dapat diungkapkan penyerang Harimau Malaya, Safee Sali apabila kesilapan pasukan memakan diri dan hanya mampu mencatat keputusan seri 1-1 dengan Hong Kong di Stadium Shah Alam, malam tadi.

Enggan menuding jari kepada mana-mana pihak, beliau menyifatkan kesilapan yang berlaku adalah tanggungjawab pasukan dan perlu dijadikan pengajaran di masa depan.

"Memang sedikit mengecewakan kerana jaringan saya tidak membantu untuk mencatat kemenangan yang dinantikan oleh peminat.

"Tapi, saya tetap berfikiran positif dan optimis rakan sepasukan mampu bangkit pada kejohanan sebenar nanti," kata Safee ketika ditemui selepas berakhirnya perlawanan persahabatan antara Malaysia menentang Hong Kong.

Dalam perlawanan itu, Malaysia sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dengan Hong Kong selepas meraih dua kekalahan berturut-turut - kecundang di tangan Vietnam (0-1) dan kemudiannya diaibkan Thailand (0-2).

Tambah Safee: "Kami masih ada baki persahabatan berdepan Bangladesh. Dan itu peluang bagi kami mengkaji semula kelemahan yang timbul."

"Apa-apa pun, saya tetap yakin dengan pasukan Malaysia dan kebolehan yang dimiliki oleh setiap pemain," katanya yang turut memberitahu mereka bakal ke Pulau Pangkor bagi mengembalikan semula semangat pemain negara.

Safee yang juga penyerang kelab Pelita Jaya turut menjelaskan bahawa beliau perlu menanam suntikan moral kepada rakan-rakan terutamannya selepas berdepan tekanan dari pelbagai pihak berikutan kekalahan terbaru ini.

"Saya perlu bantu pasukan menaikkan kembali semangat pemain selepas kepenatan mengharungi dua persahabatan.

"Selain itu, saya juga menyeru rakan-rakan sepasukan agar terus bekerja keras untuk memperbaiki kelemahan yang ada," ujarnya lagi.

1 comments so far

Keputusan seri merupakan eksperimen Raja Gopal untuk Harimau Malaya. Macam mana nak dapat seri dengan lawan nanti, sebab pasukan lawan kuat, jadi Harimau kena bersungguh2 untuk dapat seri kira ok lah... janji tak kalah...


EmoticonEmoticon