13 Disember, 2012

Apalah lagi la si Musa Hasan ni...

KUALA LUMPUR: Bekas anggota panel penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Robert Phang enggan memohon maaf kepada bekas ketua polis negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan yang meminta beliau untuk melakukannya dalam masa tiga hari, dan bersedia untuk ke mahkamah.

Sebaliknya, beliau menafikan tuduhan Musa pernah ‘mengarahkan’ seorang pegawai tinggi polis dipindahkan dalam masa 24 jam, menjadi penasihat kepada seorang lagi bekas KPN, Tun Hanif Omar disamping menawarkan diri untuk menjadi penasihat Musa.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang saya pernah menawarkan diri untuk menjadi penasihat KPN.

“Saya rasa tidak perlu untuk jadi penasihat untuk membantu polis,” kata Phang dalam sidang medianya hari ini.

Musa kelmarin dilaporkan mendakwa, pegawai polis itu enggan memenuhi permintaan untuk mentauliah satu projek jutaan ringgit kepada satu syarikat yang melibatkan Phang pada 2009, untuk menaiktaraf sistem telekomunikasi polis kepada sistem digital.

Ekoran itu, dakwa Musa, pegawai polis yang berpangkat Datuk dan memegang ijazah PhD tersebut ditukarkan ke ibu pejabat polis Bukit Aman dalam tempoh 24 jam.

Malah, beliau juga akan membuat laporan polis ke atas Musa, disamping berbincang dengan peguamnya untuk menyaman bekas KPN itu berkenaan tuduhan terhadap dirinya.

“Sila periksa fakta anda semula, Musa. Saya akan melaporkan kepada polis bagi menyiasat apa tujuan beliau melakukan perkara begini,” Phang juga membidas Musa apabila bekas KPN itu sering mengkritik penggantinya, Tan Sri Ismail Omar.

“Anda tidak sepatutnya memalukan pengganti anda, Musa. Kamu sudah berkhidmat dalam perkhidmatan polis selama 40 tahun, kamu tahu kamu tidak seharusnya merosakkan reputasinya.

“Semasa beliau menjadi KPN, kadar jenayah meningkat mendadak, tetapi Tan Sri Ismail cuba mengawal dan menurunkan kadar jenayah, mungkin kita masih tidak berpuas hati dengan keadaan sekarang, tetapi sekurang-kurangnya usaha ke arah itu terus berjalan,” kata Phang lagi.

AP


EmoticonEmoticon