18 Disember, 2012

Khalid Ali: Pecat Rajagobal bukan penyelesaian

"TINDAKAN memecat atau buang Datuk K. Rajagobal daripada membimbing skuad kebangsaan bukan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah." Demikian reaksi bekas pemain negara, Khalid Ali.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai desakan peminat tempatan yang ingin Rajagobal dipecat selepas skuad Harimau Malaya tunduk 1-3 secara agregat kepada Thailand di separuh akhir, sekali gus gagal mempertahankan mahkota kejuaraan Piala Suzuki AFF yang dimenangi dua tahun lalu.

Khalid yang mengikuti perkembangan semasa bola sepak tanah air beranggapan sekarang bukanlah masa untuk menghentam, tetapi mengambil pendekatan membantu Rajagobal bagi meningkatkan mutu Harimau Malaya.

"Mengapa perlu kita memecat Rajagobal, dia adalah jurulatih yang terbaik. Lagipun prestasi Harimau Malaya boleh dikatakan amat membanggakan. Banyak peningkatan yang telah ditunjukkan. Dan, saya ingin katakan kalah tidak semestinya kita tidak terbaik," kata Khalid.

Tambahnya, "Kita kena realistik, mempertahankan kejuaraan bukanlah perkara yang senang, kita tidak akan muncul juara tiap-tiap tahun.

"Jadi, kalah tahun ini, tidak semestinya perjuangan telah berakhir, yang penting prestasi pemain negara ada peningkatan dan patut dibanggakan," katanya kepada Sinar Harian Online.

Pada masa yang sama, Khalid turut menyarankan agar pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar Rajagobal ke Sepanyol bagi meningkatkan ilmu kejurulatihan untuk membantu Harimau Malaya terus berkembang dari semasa ke semasa.

"Rajagobal seorang jurulatih yang berilmu, dia sangat berbakat dan banyak meningkatkan prestasi skuad negara.

"Cuma ilmu yang ada tidak mencukupi. FAM harus bertindak dan menghantar dia ke luar negara bagi mendapatkan ilmu yang lebih banyak.

"Dengan itu, ia dapat membantunya mempelajari sesuatu dan mempraktikkan untuk membantu Harimau Malaya terus berkembang," ujar Khalid yang menyifatkan sukar menemui jurulatih seperti Rajagobal yang banyak berkorban demi memajukan imej bola sepak negara.

Sehubungan itu, Khalid mengingatkan peminat tempatan jangan terlalu memikirkan pemecatan Rajagobal kerana dengan pemergian jurulatih tersebut tidak semestinya mutu skuad kebangsaan akan meningkat.

"Janganlah terlalu fikirkan pasal pemecatan Rajagobal, kalau ganti pun tidak semestinya Harimau Malaya akan meningkat.

"Mungkin akan lebih mundur, jadi pendekatan sekarang bukanlah memecat tetapi memberi peluang kedua kepada Rajagobal dan sama-sama membantunya," ujar beliau lagi.


EmoticonEmoticon