22 Disember, 2012

Misbun gelisah dengan pencapaian Chong Wei

BEKAS 'sifu' Datuk Lee Chong Wei, Datuk Misbun Sidek mula merasa gelisah melihat prestasi semasa bekas anak didiknya itu.

Misbun yang pernah melatih pemain No. 1 negara itu berpendapat, kemungkinan faktor usia atau komitmen rumah tangga telah menjejaskan sedikit prestasi Chong Wei.

"Apabila Chong Wei sudah berumah tangga, kita tidak tahu bagaimana komitmennya. Badminton adalah sukan yang memerlukan kecergasan fizikal dan kita tidak tahu sejauh mana tahap kecergasan Chong Wei ketika ini.

"Sebagai ahli sukan, Chong Wei sendiri harus tahu di mana kedudukannya untuk menstabilkan diri pada peringkat antarabangsa," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Kejohanan Badminton Future X-Plode Kementerian Belia dan Sukan (KBS)-Nusa Mahsuri peringkat Kebangsaan 2012 di Bangi, Selangor semalam.

Kejohanan yang bermula semalam sehingga esok dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Gan Peng Shieu.

Ia merupakan kesinambungan Kem Bakat Badminton KBS-Nusa Mahsuri peringkat zon dan negeri yang diadakan mulai 2009.

Begitupun, Misbun yakin Chong Wei dapat mengatasi kelemahannya untuk kembali kepada prestasi terbaiknya.

Chong Wei, 30, mendirikan rumah tangga dengan bekas pemain perseorangan negara, Wong Mew Choo pada 9 November lepas.

Dia tewas mengejut kepada pemain No. 9 dunia, Du Pengyu dari China pada aksi pembukaan Siri Super Masters Akhir di Shenzhen, China baru-baru ini.

Selepas itu, dia menarik diri daripada kejohanan akibat kecederaan pada kaki kanan.

Mengenai kejohanan Future X-Plode, Misbun yang juga ketua jurulatih Kelab Nusa Mahsuri berkata, kejohanan yang diadakan di Kompleks Sukan, Institut Penilaian Negara di Bangi menyaksikan penyertaan 400 peserta berumur 13 tahun ke bawah.

Ia mempertandingkan lapan kategori iaitu Bawah 11 Tahun Individu Lelaki dan Perempuan, Bawah 11 Tahun Beregu Lelaki dan Perempuan, Bawah 13 Tahun Individu Lelaki dan Perempuan serta Bawah 13 Tahun Beregu Lelaki dan Perempuan.

"Saya berharap menerusi kejohanan ini, ia dapat melahirkan seorang lagi Lee Chong Wei pada masa akan datang," kata Misbun.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1222&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2FjZWjZ6B
Hakcipta terpelihara


EmoticonEmoticon