15 Disember, 2012

PAS diuji dan tersungkur lagi...

SEKALI lagi Pas diuji dan buat sekian kalinya juga Pas diaibkan dan tewas dalam ujian tersebut.

Undang-undang kecil Majlis Perbandaran Kota Bharu–Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) Kerajaan Negeri Kelantan yang melarang wanita menggunting rambut lelaki termasuk di kalangan bukan Islam di salun gunting rambut adalah dilihat mempunyai roh perundangan Islam dan secara jelasnya adalah selari dengan dasar perjuangan Pas yang diperjuangkan selama ini.

Oleh itu keputusan untuk menangguhkan pelaksanaan undang-undang tersebut termasuk membatalkan saman yang dikeluarkan adalah langkah dayus yang hanya menunjukkan kegagalan Pas mempertahankan prinsip perjuangannya yang dilaungkan selama ini.

Keputusan ini juga memperlihatkan betapa lemahnya Pas apabila berhadapan dengan desakan rakan sekutu mereka didalam Pakatan terutamanya DAP yang tidak pernah bersetuju dengan apa sahaja undang-undang yang ada kaitannya dengan Islam.

Kerajaan Negeri Kelantan yang dikuasai Pas akhirnya terpaksa tunduk dan akur dengan kemahuan DAP, PKR dan pimpinan parasit di dalam Pas yang tidak ingin melihat pelaksanaan undang-undang seperti itu bakal menjadi batu penghalang kepada perjalanan mereka ke Putrajaya. Kerana kuasa, apa juga halangan mesti dirempuh, hatta melibatkan maruah Islam.

Lalu di manakah untungnya Pas dan di mana untungnya Islam seperti yang dilaungkan oleh pimpinan tertinggi mereka?

Sepatutnya kesempatan inilah yang perlu digunakan oleh Pas untuk mendidik masyarakat terutamanya masyarakat bukan Islam terhadap keindahan hukum Islam berdasarkan rasional dan nas yang terdapat di sebalik undang-undang kecil tersebut.

Akhirnya masyarakat dapat menyimpulkan bahawa prinsip perjuangan asal Pas untuk melaksanakan undang-undang Islam dan menegakkan negara Islam semakin jauh ditenggelamkan oleh kerakusan dan keinginan mendalam untuk berkuasa di Putrajaya. Jika sekiranya undang-undang yang terpencil dan remeh seperti itupun tidak mampu dipertahankan, apatah lagi untuk melaksanakan hudud dan perundangan Islam yang syumul.

Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Presiden Jati


EmoticonEmoticon