19 Disember, 2012

Syirik PAS: Mahfuz label Ismail Mina sebagai 'hantu'

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan pihak yang mendakwa wujudnya pengamal syirik dalam parti itu, sebagai hantu yang mengamuk kerana tidak mendapat apa-apa daripada PAS.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas dakwaan bahawa pemimpin tertentu dalam PAS mengamalkan fahaman syiah, liberalisme dan pluralisme.

"Biar dia nak kata apa pun, hantu-hantu ini bila tidak dapat pulut kuning, dia mengamuk," kata Mahfuz pada sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Ahli PAS seumur hidup yang juga Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina mendakwa wujud unsur syirik dalam PAS kerana ada ahlinya yang mengamalkan ajaran yang bercanggah dengan Islam.

Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Dewan Ulama akan mendapatkan penjelasan daripada Ismail untuk merungkai dakwaan beliau.

Ismail menegaskan beliau bersedia berjumpa dengan pimpinan PAS untuk membuktikan dakwaannya itu.

Dalam perkembangan lain, Mahfuz enggan mengulas kesediaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi alat kepada DAP.

Anwar membuat kenyataan itu di Pulau Pinang Sabtu lalu selepas Pengerusi DAP Karpal Singh menyatakan sokongan parti untuk Ketua Pembangkang itu menjadi Perdana Menteri sekiranya pembangkang menawan Putrajaya.

Menurut Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, beliau tidak tahu apa yang diperkatakan Anwar kerana tidak menghadiri ceramah di Nibong Tebal kelmarin.

"Saya tidak tahu, saya tiada di situ," katanya.

AP


EmoticonEmoticon