23 Disember, 2012

Tun Dr Lim Keng Yaik Meninggal Dunia

KUALA LUMPUR – Bekas Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Tun Dr Lim Keng Yaik,73, meninggal dunia di kediamannya di Tropicana Petaling Jaya pada pukul 4.45 petang ini.

Perkara itu disahkan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan kepada Bernama.

Punca kematian beliau masih belum dapat disahkan lagi.

Keng Yaik juga merupakan bekas Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi.

Keng Yaik dilahirkan 8 April 1939 di Tapah, Perak.

Beliau mendapat pendidikan awal di St. Micheal Institution, Ipoh mulai tahun 1947 hingga 1957.

Beliau kemudian melanjutkan pengajian ke Queens University, Belfast di Ireland dan bidang perubatan dan surgeri (MBB.Ch) dari tahun 1958 hingga 1964. Beliau juga telah memperoleh Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada universiti yang sama pada tahun 1995.

Keng Yaik memulakan kerjaya profesional sebagai Pegawai Perubatan pada tahun 1965 hingga 1971.

Pada tahun 1972, beliau dilantik sebagai Senator Dewan Negara hingga tahun 1978. Sepanjang perlantikannya itu, beliau pernah diberi tanggungjawab sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas mulai tahun 1972 hingga 1973.

Beliau merupakan Presiden Gerakan dari tahun 1980 hingga 2007. Beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Presiden Gerakan dari tahun 1976 hingga 1980 dan menceburi politik bermula tahun 1968 dengan menyertai MCA.

Pada tahun 1972, beliau dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas (berkenaan Kampung Baru dan Darurat). Kemudian pada tahun 1973, beliau dipecat daripada MCA kerana menentang Presiden ketika itu,Tun Tan Siew Sin kerana terlibat dalam penentangan gerakan reformasi MCA.

Pada tahun yang sama, beliau telah menyertai parti GERAKAN dan telah dilantik sebagai Pengerusi GERAKAN bahagian Ulu Kinta.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Senator antara tahun 1971 dan 1977 selama 2 penggal.

Seterusnya, beliau diberi peluang bertanding atas tiket Barisan Nasional dan menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jalong, Perak pada Pilihan Raya Umum 1978.

Setelah itu, beliau dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perak (AMMK). Beliau berjaya mempertahankan kedudukannya sebagai ADUN Jalong dan AMMK Perak pada penggal berikutnya hingga tahun 1986.

Pada Pilihan Raya Umum 1986, beliau telah bertukar ke Parlimen Beruas hingga kini dan dilantik sebagai Menteri Perusahaan Utama hingga tahun 2004.

Pada Pilihan Raya Umum ke-11 lalu, beliau telah berjaya mempertahankan kemenangannya di Parlimen Beruas buat kali ke empat berturut-turut setelah menewaskan calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) Nga Hock Chech dengan kelebihan undi 4,564 undi.

Beliau telah mendirikan rumahtangga bersama Datin Seri Wong Yoon Chuan dan dikurniakan tiga orang anak.


EmoticonEmoticon