24 Disember, 2012

Ulama PAS juga gunakan Utusan sebagai sumber rujukan...kata fitnah?

LUCU rasanya apabila Pemuda Pas mahu menasihati akhbar ini. Memang aneh apabila Ketua Penerangan Pemuda Pas boleh bersimpati dengan Utusan. Aneh, tiba-tiba Pas mahu mengambil berat akhbar yang selama ini dijadikan mereka sebagai sasaran serangan.

Tentu itu bukan niat sebenar Riduan Mohd. Nor. Beliau hanya mahu menabur garam. Pandangannya sarat dengan kepentingan politik. Tidak semena-mena beliau yang entah dari mana boleh memberi pandangan tentang Utusan yang dengan megahnya disiarkan oleh Harakahdaily.

Pandangan Ketua Penerangan Pemuda Pas itu adalah reaksi kepada ulasan bekas Ketua Pengarang Bernama, Datuk Seri Azman Ujang dalam sebuah forum yang dipetik sebagai berkata bahawa Utusan perlu berubah jika mahu kekal relevan sebagai akhbar nasional.

Apakah sebabnya, kalau tidak sebagai strategi berterusan pakatan pembangkang selain tindakan saman dan boikot untuk memberi imej buruk kepada akhbar ini? Mereka akan bertemasya tumpang semangkuk jika ada pihak yang membuat kritikan atau melontarkan pandangan tentang Utusan.

Apakah pandangan Pemuda Pas yang memperlekehkan Utusan itu manifestasi daripada kekecewaan mereka yang gagal memberi penjelasan berkaitan kesan Amanat Haji Hadi yang didedahkan sendiri oleh ahli dan bekas ahli parti itu?

Seharusnya Pemuda Pas berasa malu dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat tanpa berfikir panjang yang akhirnya akan memakan diri sendiri. Apakah yang mahu Pemuda Pas buktikan apabila mereka menyatakan 'malah mentaliti atau persepsi rakyat sudah meletakkan Utusan sebaris dengan akhbar nyamuk yang tidak ada harga untuk dibaca'.

Bagaimanakah untuk menjelaskan hal tersebut apabila pemimpin dan ulama Pas sendiri membaca akhbar ini atau menjadikan Utusan sebagai rujukan? Apakah Pemuda Pas mahu menyatakan pimpinan dan ulama mereka membaca bahan-bahan tidak berharga alias sampah?

Dalam muktamar Pas baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Tetap, Hussin Ismail semasa sesi perbahasan usul ucapan dasar Presiden malah merujuk akhbar Utusan Malaysia tentang tragedi empat sekeluarga maut akibat terhidu gas di Sarawak. Sambil menunjukkan akhbar itu, beliau meminta perwakilan menghadiahkan surah al-Fatihah.

Jika pandangan Ketua Penerangan Pemuda Pas itu sebagai seorang pembaca Utusan, baguslah. Jangan mudah terikut-ikut rentak dan hipokrasi rakan-rakan sekutu DAP dan PKR yang mengagungkan kebebasan akhbar tetapi bertindak sebaliknya apabila diri sendiri ditegur, dikritik atau salah laku dibongkar.

Jika Pemuda Pas rajin, cubalah teliti media-media Kerajaan PKR Selangor. Adil, saksama dan seimbangkah apa yang dilaporkan oleh TV Selangor, Selangor Times dan Selangorkini yang mendapat peruntukan khas daripada Geran Selangorku itu?

Laporan-laporan dalam media yang dibiayai menggunakan wang rakyat ini bahkan hanya menjurus kepada pemimpin tertentu, dalam kalangan mereka yang satu aliran sahaja. Hal ini bukan cerita baharu sehingga menimbulkan kecemburuan pimpinan lain.

Jangan haraplah mereka mahu memberikan ruang kepada aktiviti yang dilakukan oleh wakil rakyat BN. Dalam kebanyakan masa malah media itu digunakan untuk menghentam dan memutarbelit dasar-dasar Kerajaan Pusat.

Itulah kayu ukur laporan seimbang pakatan pembangkang. Jika laporan tidak memihak atau memenuhi kehendak, mereka akan kata media berkenaan alat politik, berniat jahat dan lebih vulgar, penyebar fitnah.

Begitu juga apabila The Star memberi liputan meluas tentang isu salon dan penangkapan individu bukan Islam kerana didakwa 'berkhalwat' oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam yang tidak menguntungkan Pas. Pimpinan mereka pantas memutar isu dengan menyalahkan akhbar berkenaan.

Bukan sekadar itu, mereka menyalahkan pula MCA (pemilik The Star) yang didakwa sengaja mensensasikan isu saman tersebut. Mereka tuduh The Star mengikut telunjuk tuannya MCA yang sengaja memutarbelitkan penangkapan untuk mengelirukan masyarakat bukan Islam.

Aneh, dalam kes ini tiada pula demonstrasi pimpinan DAP mahukan pertubuhan hak asasi manusia sebagaimana yang pada 2003 pernah mereka lakukan apabila sepasang kekasih bukan Islam didakwa atas kesalahan 'bercumbu dan berpeluk' di Taman KLCC.

Ramai yang masih ingat bagaimana bersemangatnya Ahli Parlimen DAP antaranya, Fong Po Kuan dan Chong Chieng Jen serta Ahli Dewan Undangan Negeri Lobak, Anthony Loke membuat demonstrasi di depan pejabat DBKL bagi membantah penangkapan itu.

Walaupun serangan daripada segelintir pemimpin pakatan pembangkang kepada media arus perdana bukan baharu, namun ada kecenderungan usaha itu kini semakin dipertingkatkan. Barangkali politikus pakatan pembangkang tidak mampu lagi menangkis kebenaran yang terus bermunculan akibat daripada sikap dan salah laku mereka sendiri.

Walah pakatan pembangkang kerana syahwat yang tidak terkendali mahukan kekuasaan, tanpa dapat disembunyikan semakin compang-camping. Citra baharu pakatan pembangkang yang kononnya mahu mendaulatkan rakyat melalui buku jingga tidak membantu pakatan itu menjadi lebih gah dan gagah.

Dengan solekan kosmetik, mereka hanya kelihatan cantik dan molek dari luar. Di dalam, nama baiknya sedang terhakis sedikit demi sedikit. Pakatan pembangkang malah mengundur kebelakang. Sedang parti lain semakin tunduk kepada keperluan baharu, pakatan pembangkang malah tambah menampakkan dirinya yang arogan dan angkuh.

Parti pembangkang semakin sarat dengan bebanan. Ada pemimpin sudah berpuluh-puluh tahun menjadi Menteri Besar tetapi masih ada nafsu besar mahu terus memegang jawatan. Kalau ada pemimpin sebegini dalam parti lain, mereka akan hina. Ada pemimpin yang hanya pandai ceramah dan buat lawak jenaka. Kemudian kumpulkan orang untuk buat huru-hara. Sesekali tanyalah apakah sumbangan beliau kepada negara ini.

Ada pemimpin yang terbeban dengan dakwaan moral yang luar biasa dahsyatnya sehingga dahulu mereka gelar Al-Juburi dan disarankan bertaubat tetapi pemimpin ini malah diangkat sebagai bakal Perdana Menteri.

Ada pemimpin yang mereka sendiri gelar sombong dan angkuh tetapi pada masa sama diagung-agungkan. Harakat dan martabatnya diangkat sebegitu rupa sehinggakan beliau merasakan dirinya sahajalah yang betul.

Tetapi semua itu tidak mengapa. Hal yang demikian kerana sudah ada kambing hitam. Salahkan media, burukkan media arus perdana maka bersihlah diri mereka. Inilah kongkalikung politik pakatan pembangkang.

Utusan


EmoticonEmoticon