15 Januari, 2013

Atur perlawanan, Perlis mahu SPRM siasat

KANGAR - Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) telah menyerahkan video perlawanan kedua Liga Perdana membabitkan pasukannya menentang Kuala Lumpur SPA Putrajaya FC pada 11 Januari lalu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis untuk siasatan selepas mendapati ada keraguan.

Pengurus Pasukan Perlis, Shahruddin Ismail ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Menurutnya, keputusan perlawanan yang berkesudahan Perlis tewas 4-2 di Stadium Hang Jebat telah mendatangkan keraguan kepada Ketua Jurulatih, Yunus Aliff berikutan jaringan lawan berlaku dengan agak mudah.

“Ketua Jurulatih telah memberitahu perkara tersebut kepada pihak pengurusan PFA kerana keempat-empat gol berkenaan dijaringkan dalam masa yang agak singkat dan mudah selepas Perlis berjaya mendahului terlebih dahulu lawan dengan dua jaringan.

“Maka kami mengambil keputusan untuk menyerahkan sedutan video perlawanan berkenaan kepada SPRM untuk pihak berkenaan membuat siasatan lanjut,” katanya kepada Sinar Harian.

Enggan membuat andaian awal sama ada perlawanan berkenaan telah diatur, Shahruddin menyerahkan semua perkara berkenaan kepada pihak berkuasa.

Perlawanan berkenaan merupakan salah satu daripada tiga perlawanan awal yang menyaksikan Perlis tewas kesemuanya setakat ini.

Pada perlawanan pertama, Perlis tewas 2-1 kepada Sarawak dan semalam, pasukan berkenaan tewas kepada Kuala Lumpur Sime Darby FC 2-0.

“Kami tidak mahu mengulas dengan lebih lanjut berhubung perkara ini dan enggan menuduh sesiapa setakat ini,” jelas Shahruddin.

Musim lalu, Singa Utara turut mengesyaki beberapa pemainnya yang beraksi di Liga Perdana mengatur keputusan perlawanan selepas pasukan itu tewas mengejut 2-7 kepada MP Muar pada 9 Januari 2012.


EmoticonEmoticon