31 Januari, 2013

Isu Nazmi: 'Beliau mungkin kesepian' ulas Ong Kim Swee

Kuala Lumpur: “Mungkin Nazmi Faiz (Mansor) merasa keseorangan di sana dengan usia yang masih muda tanpa ada bimbingan orang yang lebih dewasa”.

Itu pandangan jurulatih Harimau Muda A Ong Kim Swee berhubung kontroversi melanda pemain muda berbakat negara yang kini beraksi bersama kelab Portugal, SC Beira-Mar bersama bekas kekasihnya, Tengku Norshufilla Tengku Muhammad Shubli.

“Saya ada bercakap dengannya beberapa hari lalu mengenai perkara ini dan menasihatkan dia untuk melupakannya kerana lebih mustahak baginya adalah pendedahan dan pengalaman yang boleh diraihnya di Portugal yang bermula sejak setahun lalu.

“Menerusi perbualan telefon itu saya dapat merasakan dia memahami maksud dan tujuannya berada di Portugal. Bagi saya, dia masih mentah (berusia 19 tahun) dan saya mengharapkan dia mengambil perkara ini sebagai pengajaran pada masa depan,” katanya yang menjadi individu bertanggungjawab memastikan impian pemain terbabit beraksi di Portugal, tercapai.

Malah, menurut Kim Swee, beliau menasihatkan Nazmi Faiz supaya berhati-hati dalam menggunakan lawan sosial lantaran pemain Harimau Muda termasuk dirinya mempunyai pengikut ramai kerana peminat pasti ingin mengetahui perkembangan mereka.

“Namun untuk dia serta pemain lain, saya tidak menganggap menggunakan laman sosial seperti Twitter, salah namun mereka perlu sentiasa berwaspada menggunakannya. Jangan tersalah guna dan mengikut emosi.

“Saya berharap peminat dan penyokong bola sepak tempatan jangan memperbesarkan perkara ini dan terus memberi sokongan kepadanya dalam mengembangkan karier di Eropah,” katanya.

Kontroversi membabitkan pemain tengah itu bermula apabila Nazmi Faiz menuduh bekas kekasihnya itu berlaku curang dan menjalinkan hubungan sulit bersama pemain pertahanan negara, Aidil Zafuan Abd Radzak.


EmoticonEmoticon