27 Februari, 2013

Artikel 88 FAM: 'Sila tampil dengan cadangan' - Tengku Abdullah

KUANTAN - Anggota gabungan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu tampil dan mengemukakan cadangan jika mahu Statut Artikel 88 badan induk bola sepak negara itu dikaji semula.

Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menegaskan, peraturan tersebut dilulus dan dikuatkuasakan oleh anggota gabungan terbabit dan bukan atas arahan presiden atau timbalan presiden badan itu.

"Ini kerana Artikel itu dibuat bukan atas arahan presiden atau timbalan presiden FAM. Ia atas kelulusan ahli-ahli gabungan yang bermakna negeri-negeri yang melakukannya," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar.

Tengku Abdullah sebelum itu merasmikan Ijtimak Program Masjid Gemilang Pahang, semalam.

Menurut Tengku Abdullah, beliau sendiri telah lama memaklumkan kepada jawatankuasa perundangan FAM untuk melakukan tindakan tersebut bagi memperhalusi keberkesanan perkara berkenaan.

"Janganlah apabila sudah tarik peraturan itu, kita sewenang-wenangnya hendak kutuk FAM kerana ia tidak mencerminkan kematangan sukan bola sepak negara," tegas Tengku Abdullah.

Ujar beliau, perkara yang boleh dilakukan adalah memperkemas serta memperbaiki kelemahan FAM sejajar dengan pindaan dibuat oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dari semasa ke semasa.

Sementara itu, mengulas mengenai kritikan dilontarkan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim tentang Liga Malaysia sebelum ini, Tengku Abdullah menyeru agar perkara itu dilihat daripada sudut positif.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden FAM itu turut mengakui dakwaan Tunku Ismail bahawa pengadil tidak profesional mempunyai kebenarannya kerana mutu pengadilan bola sepak negara masih di peringkat amatur.

"Memang betul apa dinyatakan oleh Tunku Mahkota Johor yang pengadil kita tidak profesional kerana kita masih amatur lagi. Jadi hendak kata terbaik tidaklah.

"Kalau terbaik, kena pergi Liga Perdana Inggeris atau La Liga (Liga Sepanyol). Tetapi dari segi positif, kita kena tengok mana mahu diperkemas dan jangan cepat menghukum," kata Tengku Abdullah.

Utusan


EmoticonEmoticon