10 Februari, 2013

Kalimah Allah: PAS parti tidak bertanggunjawab, lepas tangan kepada KDN

SHAH ALAM: Tindakan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang yang mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) 'menyelesaikan' kontroversi isu kalimah Allah mencerminkan PAS sebagai parti yang tidak bertanggungjawab, kata penganalisis politik Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Ismail Sualman.

Malah tegas beliau, Hadi tidak sepatutnya bertindak sedemikian, apatah lagi penggunaan kalimah ini telah diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2008 dan keputusan kerajaan itu harus dihormati.

"Jadi perkara ini tak timbul untuk diserahkan kepada KDN kerana pemimpin ini tahu bahawa ia memang tidak boleh digunakan oleh mana-mana kecuali untuk orang Islam.

"Mereka ni akan baling batu sembunyi tangan, bila ada masalah mereka akan serah kepada kerajaan atau kepada kementerian tertentu sedangkan yang mewujudkan atau yang mengeruhkan keadaan adalah rakan dalam Pakatan (Rakyat)," katanya ketika dihubungi.

Akhbar Mingguan Malaysia hari ini melaporkan Majlis Syura Ulama PAS menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat kerana dipercayai berkaitan dengan tindakan Ketua Pembangkang itu yang enggan mengiktiraf ketetapan badan tertinggi PAS, Majlis Syura Ulama.

Minggu lalu Hadi berpendirian untuk tidak membawa keputusan Majlis Syura Ulama bersabit penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Beliau menolak persoalan itu diajukan kepadanya kerana bukan Pakatan Rakyat yang memerintah negara.

"Sepatutnya soalan ini dikemuka kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN), kerana hak membenarkan kalimah Allah di dalam Bible ini adalah dibenarkan oleh Kementerian Dalam
Negeri.

"Yang menentukan untuk cetak dan seumpamanya bukannya kami, kerana kami tidak memerintah lagi, kenapa heret kami dalam perbincangan ini?" kata beliau, walhal isu tersebut dibangkitkan oleh rakan komponen DAP dalam ucapan bersempena Hari Krismas pada Disember lalu.

Elak kalimah Allah jadi bahan politik

Justeru Ismail menasihati pemimpin Pakatan Rakyat untuk menyelesaikan masalah ini secara berhemah tanpa perlu melibatkan pihak lain sekaligus mengelakkan daripada ia terus menjadi bahan politik.

"(Ini) masalah dalaman parti, mereka yang berpolemik jadi selesaikanlah masalah itu sebaik mungkin. Sejauh mana Nik Aziz dan juga presiden PAS boleh menutup mulut Karpal dan juga Guan Eng. Kalau mereka mendakwa mereka itu sepakat, saya rasa isu-isu ini boleh diselesaikan secara dalaman tak perlu melibatkan parti atau agensi lain," katanya lagi.

Sementara itu pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Azizuddin Moh Sani berkata Pakatan Rakyat tidak mempunyai hala tuju yang jelas dalam perkara ini.

"Bila isu ni jadi polemik, pembangkang ni ada pandangan berbeza (mengenai) pendekatan antara PAS, PKR, DAP berhubung hala tuju isu ini.

"Pakatan dan ambil pendirian, iaitu dengan Lim Kit Siang, Hadi Awang, Anwar Ibrahim cuma Majlis Syura PAS kemudiannya menolak pendirian itu. Apa yang kita boleh katakan mereka sebenarnya tidak mempunyai pendirian yang tetap (kukuh) sebenarnya. Masing-masing berbalah dan tiada muafakat tentang isu ini.


EmoticonEmoticon