21 Februari, 2013

Mutu pengadilan Liga Malaysia teruk - TMJ

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak berpuas hati dan kesal dengan mutu pengadilan bola sepak tanah air sejak bermulanya kancah Liga Malaysia musim ini.

Selepas sekian lama bersabar melihat kualiti sistem pengadilan di atas padang, tidak kira pada perlawanan melibatkan dua pasukan dari Harimau Selatan mahupun negeri-negeri lain, beliau tampil bersuara seterusnya mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya bertindak segera.

Beliau yang juga Tunku Mahkota Johor berkata, musim baru Liga Malaysia kini lebih kompetitif kerana semua pasukan saling bersaing untuk meraih kemenangan, namun mengakui standard sistem pengadilan di atas padang amat mengecewakan.

Katanya, PBNJ bersedia untuk mengemukakan bukti dalam bentuk rakaman dan surat rasmi kepada FAM bagi membincangkan seterusnya mencari keputusan dan penyelesaian melibatkan isu berkenaan.

“Saya ingin menyuarakan perihal kualiti sistem pengadilan bola sepak di negara ini tidak hanya pada malam ini (kelmarin), tetapi sejak mula musim ini.

"Bukan sahaja perlawanan melibatkan pasukan dari Johor, tetapi perlawanan-perlawanan lain seperti ATM menentang Selangor serta Kelantan dan Johor Darul Takzim," kata Tunku Ismail.


EmoticonEmoticon