10 Februari, 2013

Pasangan kekasih 'terlampau' dicekup

Kulim: Tindakan sepasang kekasih merempuh sekatan jalan raya yang dilakukan sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Bharu pada 31 Disember lalu membongkar kegiatan sebenar pasangan itu.

Pasangan itu disyaki terbabit mencuri kabel dan pecah rumah di sekitar Kulim, Pulau Pinang dan Perak selepas siasatan dilakukan terhadap kedua-dua mereka.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari itu, pasangan yang berusia 24 dan 28 tahun memandu sebuah kereta sebelum ditahan di kawasan Ladang Kelapa Sawit Batu Hampar, Kampung Air Puteh, Serdang selepas melarikan diri daripada sekatan polis.

Ketua Jabatan Siasat Jenayah Kedah, Assisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, pasangan itu berjaya ditahan dan hasil daripada soal siasat berjaya membongkar kegiatan jenayah mereka selepas sepasukan polis melakukan serbuan terhadap sebuah premis di Sungai Ular, dekat sini.

"Hasil serbuan itu, kami berjaya menahan enam orang termasuk seorang wanita berusia 22 hingga 71 tahun di premis berkenaan yang menjalankan perniagaan mengutip besi buruk.

"Pemeriksaan lanjut terhadap premis itu menemui kira-kira 100 kilogram kabel tembaga milik Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia (TM)," katanya kepada pemberita, di sini, semalam.

Beliau berkata, serbuan itu turut menemui beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk pecah rumah termasuk kad pengenalan milik orang lain. Katanya, premis menjual besi buruk itu hanya digunakan untuk melindungi kegiatan sebenar mereka.


EmoticonEmoticon