18 Februari, 2013

'Saya juga menyesal terima pujukan DS Anwar'

WANGSA MAJU - “Saya juga menyesal dan tersalah tafsir kerana mempercayai Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menerima pujukan Ketua Pembangkang itu supaya bertanding di Parlimen Wangsa Maju pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12).”

Demikian jelas Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong mengulas kenyataan mohon maaf kepada penduduk kerana meletakkan beliau bertanding di Parlimen itu.

Menurutnya, beliau tidak pernah meminta daripada Anwar untuk bertanding dan pernah menolak untuk mewakili PKR kerana tidak mempercayai Ketua Umum PKR itu.

“Sewaktu ditawarkan bertanding, Anwar menggunakan orang tengah iaitu seorang kenalan berasal dari Kelantan untuk memujuk saya bertanding.

“Kemudian, saya berjumpa dengan Anwar di rumahnya di Segambut dan ketika pertemuan itu, saya minta untuk bertanding atas lambang parti sendiri namun ditolak,” katanya, semalam.

Choo Keong ditemui ketika Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Wangsa Maju di Danau Kota yang dihadiri kira-kira 10,000 tetamu semalam.

Baca juga: Wee Choo Keong jadi bahan berkempen DS Anwar di Wangsa Maju

Menurutnya yang juga wakil rakyat Bebas, ketika pertemuannya empat mata itu, beliau menyatakan persetujuannya bagi tawaran bertanding atas tiket PKR dengan harapan Anwar akan berubah sikap.

Katanya, jika Anwar tersilap dalam percaturan meletakkan beliau bertanding di Wangsa Maju, beliau juga menyesal kerana mempercayai Anwar yang belum berubah sehingga hari ini.

“Anwar seorang yang pentingkan diri dan akan melakukan apa saja dalam agenda menawan Putrajaya.

“Beliau hanya bermain politik dan bukan memikirkan masa depan negara dan bangsa,” katanya.

Dalam pada itu, Choo Keong berkata, beliau tidak boleh menolak untuk bertanding pada PRU13 setelah melihat sokongan pengundi di Wangsa Maju yang mahukannya meneruskan karier politik di kawasan itu.

“Selagi mendapat sokongan rakyat, selagi itulah saya akan terus berkhidmat di sini,” katanya.


EmoticonEmoticon