18 Februari, 2013

Status perletakan jawatan DS Najib, laporan polis telah dibuat

PUTRAJAYA 18 Feb. - Ketua Pengarah Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman hari ini membuat laporan polis berhubung pencerobohan sistem e-Akhbar dan e-Press milik Jabatan Penerangan yang memaparkan kenyataan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pada pukul 3.30 petang.

Bercakap kepada pemberita, Ibrahim berkata, berita tersebut bukan sahaja memaparkan kenyataan palsu malah mencemar nama baik Jabatan Penerangan dan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.

"Laporan polis ini dibuat mengenai usaha pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab menceroboh laman web Jabatan Penerangan khususnya sistem e-Akhbar dan e-Press yang merupakan lidah rasmi kerajaan memaklumkan aktiviti rasmi kerajaan sama ada perdana menteri, timbalan perdana menteri atau menteri Kabinet.

"Selain memapar kenyataan itu, turut dimuat naik memo daripada rakyat yang mengandungi pelbagai permintaan kepada kerajaan dan ada daripadanya tidak munasabah," katanya di sini.

Sebelum itu, Jabatan Penerangan telah membuat kenyataan akhbar menafikan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara tersebut.



Menurut Ibrahim, pihaknya menyedari kenyataan itu dipaparkan pada pukul 8.05 pagi dan percaya dimuat naik pada pukul 6 pagi ini. - UTUSAN



EmoticonEmoticon