03 Februari, 2013

Wan Zack dan Wan Zaharulnizam ditawar kontrak bersama kelab Jepun

KUALA LUMPUR - Dua pemain tonggak Harimau Muda, Wan Zack Haikal Wan Noor dan Wan Zaharulnizam Wan Zakaria ditawarkan kontrak bersama kelab divisyen tiga dari Jepun, FC Ryukyu.

Perkara tersebut disahkan jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee, namun jelasnya beliau belum memikirkan keputusan mengenai tawaran buat anak buahnya itu.

Kim Swee, yang ketika ini berada di Australia bersama pasukannya untuk beberapa siri perlawanan persahabatan di negara itu berkata, terdapat banyak perkara perlu diteliti sebelum menerima tawaran tersebut.

Menurutnya, dia mungkin membuat keputusan berhubung tawaran terhadap pemainnya apabila pulang ke Malaysia nanti.

"Benar mereka ditawarkan kontrak dari kelab Jepun tetapi kami masih belum memikirkan keputusannya selepas apa berlaku terhadap Nazmi Faiz Mansor.

"Saya mahu meneliti pelbagai aspek terutama dari segi ejen, keluarga, pemain itu sendiri sama ada sanggup atau tidak.

"Apabila pulang Australia nanti kita akan memberikan keputusan untuk membenarkan kedua-dua pemain ini pergi atau tidak, kita harus membincangkan tawaran ini dengan lebih teliti," katanya.

Kedua-dua pemain tersebut sebelum ini menjalani latihan pemilihan selama 19 hari bersama kelab berpangkalan di Okinawa itu yang berakhir pada 28 Julai tahun lalu.

Sementara itu, Wan Zack yang dihubungi Mingguan Malaysia semalam, memberitahu dia bersedia untuk beraksi di Jepun.

Menurutnya, sememangnya menjadi impiannya untuk beraksi di luar negara, sebagai batu loncatan ke arah karier bola sepaknya yang lebih cemerlang.

"Saya masih tidak tahu mengenai perkara ini namun jika diterima sudah tentu saya amat gembira.

"Pengalaman berada di sana sudah pasti tidak akan memberikan masalah kepada saya untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik buat pasukan," kata Wan Zack.

Utusan


EmoticonEmoticon