24 Mac, 2013

Akar umbi relakan Kit Siang perkuda simbol PAS dalam PRU13?

SHAH ALAM: Penganalisis politik menjangkakan akar umbi PAS akan sebulat suara menolak cadangan untuk DAP bertanding menggunakan simbol parti Islam itu pada pilihan raya umum nanti.

Ini berikutan kemelut isu kalimah Allah yang telah mencetuskan kemarahan ahli PAS terhadap kepimpinan DAP belum dapat diredakan sepenuhnya walaupun Pakatan Rakyat mengambil pendirian untuk 'menutup' isu berkenaan.

Menurut Profesor Dr Ismail Sualman cadangan Pengerusi DAP Karpal Singh dan veteran Lim Kit Siang yang mengumumkan langkah alternatif itu akan mencetuskan persoalan sama ada PAS akan 'merelakan' parti dominasi Cina itu diberi belas ehsan walaupun berdepan dengan isu prinsip.

"Sejauh mana PAS dan juga PKR merelakan, ahli-ahlinya merelakan penggunaan logo mereka sebagai memberi belas ehsan kepada calon-calon oleh DAP ini.

"Yang ini persoalan yang perlu ditanya semula dan adakah itu kita anggap sebagai satu pakatan ataupun ia sebenarnya mengancam hubungan dalam Pakatan itu.

"Saya rasa ahli-ahli PAS khususnya mungkin akan menolak dan mendesak supaya tidak boleh wujud keadaan ini.

"Apatah lagi isu pasal kalimah Allah yang masih lagi hangat, yang masih tidak selesai ini tidak dapat diredakan di antara DAP dengan PAS, maka saya fikir ia akan menjadi bertambah gawat," katanya.

Lim yang ditemuramah akhbar berbahasa Cina, China Press sebelum ini dilaporkan sebagai berkata keputusan itu berkemungkinan dibuat setelah mengambil kira keseriusan ROS menyiasat parti itu.

DAP didakwa melanggar undang-undang pertubuhan ekoran dipercayai wujud unsur penyelewengan dalam pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti tersebut baru-baru ini.

Lim menyifatkan isu tersebut tidak sepatutnya diperbesarkan kerana beliau mendakwa tidak lebih sekadar "masalah teknikal".

Pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM itu kemudian berpendapat isu menggunakan logo parti lain tidak timbul sekiranya Pakatan Rakyat (Pakatan_ didaftarkan sebagai sebuah parti.

"Kalau seandainya Pakatan itu didaftarkan sebagai satu komponen macam BN, ia tidak akan timbul. Maksudnya kalau katakan sebagai contoh mana-mana parti pun di bawahnya, katakan DAP digantung kerana pemilihan yang tidak mengikut lunas demokrasi, calon mana-mana pun boleh bertanding di atas nama Pakatan.

"Sekarang Pakatan tidak wujud...sekadar nama sahaja tapi di atas pendaftaran tidak ada," katanya kepada Antarapos.

Veteran DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan tidak menolak kemungkinan calon parti itu akan bertanding menggunakan lambang parti komponen lain.

"Calon DAP mungkin bertanding sebagai calon Bebas atau kita pinjam simbol PKR atau Pas. Saya sendiri mungkin bertanding menggunakan simbol PAS pada pilihan raya umum nanti," katanya memetik laman Twitternya.

“Ini saya lihat mengeratkan perpaduan di kalangan Pakatan Rakyat dan ia bukan satu perkembangan yang tidak baik," beliau dipetik sebagai berkata.

Antarapos


EmoticonEmoticon