18 Mac, 2013

Bola Sepak: Harimau Malaya akur kehebatan Arab Saudi, kecundang 1-4

SHAH ALAM, 17 Mac - Skuad Harimau Malaya terpaksa akur dengan kelincahan pasukan Arab Saudi apabila kalah 4-1 pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, di sini, Ahad.

Skuad Arab Saudi, yang bergelar 'The Green Falcons' bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh menerusi tandukan penyerang berbisanya, Yousef Al-Salem selepas memperolehi hantaran cantik dari rakan sepasukan.

Skuad bimbingan Lopez Caro itu kemudian menggandakan jaringan menerusi Yahya Al-Shehri pada minit ke-29 setelah beliau berjaya memperdayakan benteng pertahanan negara.

Bagaimanapun, peluang skuad Harimau Malaya untuk merapatkan jaringan hadir sebelum separuh masa apabila sepakan percuma Mohd Badhri Mohd Radzi pada jarak 15 meter melepasi palang gol lawan yang dikawal kemas oleh Waled Abdullah.

Pada babak kedua, Harimau Malaya dibawah bimbingan Datuk K. Rajagobal semakin rancak mengatur beberapa serangan namun dikecewakan dengan penyudah yang baik.

Kapten pasukan Harimau Malaya, Norsharul Idlan Talaha terlepas peluang keemasan apabila cubaannya pada minit ke-52 berjaya didakap kemas oleh penjaga gawang Arab Saudi.

Safiq Rahim mengurangkan jurang jaringan Harimau Malaya pada minit ke-70.

Arab Saudi menambah duka pasukan Harimau Malaya apabila Naif Hazazi menjaringkan gol ketiga pada minit ke-88 sebelum Hamdan Al-Hamdan melabuh tirai jaringan minit ke-93.

Skuad Harimau Malaya dijadual menentang Yemen pada perlawanan kumpulan D pusingan kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Shah Alam, Jumaat ini.

- BERNAMA


EmoticonEmoticon