06 Mac, 2013

FAM bakal saman Barcelona FC?

PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kurang berpuas hati dengan tindakan wakil Barcelona FC yang menghebahkan kedatangan kelab bola sepak Sepanyol itu tanpa merujuk kepada mereka terlebih dahulu.

Setiausaha Agung FAM Datuk Azzuddin Ahmad berkata, apa yang lebih dikesalkan oleh badan induk bola sepak kebangsaan itu ialah tindakan wakil berkenaan yang juga syarikat tempatan mengenai cadangan untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan pada 10 Ogos ini.

Katanya tarikh itu tidak sesuai memandangkan umat Islam masih merayakan Hari Raya Aidilfitri.

"Kita bagaimanapun akan membuat pengesahan terlebih dahulu mengenai kesahihan wakil berkenaan selaku ejen Barcelona atau tidak bagi mengelakkan segala masalah berbangkit selepas ini.

"Mereka telah mengadakan perjumpaan dengan saya hari ini di Wism FAM namun saya tidak boleh mendedahkan butiran pertemuan tersebut kerana kedua-dua pihak masih belum mencapai kata sepakat," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman kedatangan kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea FC ke Malaysia di sini, hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 28 Feb lepas dilaporkan sebagai berkata kelab gergasi Sepanyol itu akan mengadakan kunjungan ke negara ini selepas mengadakan perlawanan persahabatan di Beijing, China dan Bangkok, Thailand menerusi Jelajah Asia kelab itu.
Perkara berkenaan dinafikan oleh FAM dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan sehari kemudian.

Presiden FC Barcelona Sandro Rosell bagaimanapun mengesahkan kedatangan kelab bimbingan Tito Vilanova ke tiga negara berkenaan menerusi sidang media yang diadakan di ibu pejabat kelab itu di Barcelona, dua hari lepas.

Azzuddin berkata badan induk bola sepak kebangsaan itu sentiasa mengalukan-alukan kedatangan mana-mana kelab yang berhasrat mengadakan perlawanan persahabatan dengan skuad kebangsaan namun mereka perlu mengikut segala prosedur yang ditetapkan termasuk mengadakan perjumpaan dengan FAM terlebih dahulu. - Bernama

P/S: Saman la..apa tunggu lagi! LOL


EmoticonEmoticon