24 Mac, 2013

Guna logo PAS, Kit Siang berniat jahat?

KUALA LUMPUR 23 Mac - Langkah Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang mahu bertanding menggunakan lambang Pas sekiranya Pendaftar Pertubuhan (ROS) menggantung pendaftaran partinya dipersoal memandangkan agenda perjuangan antara kedua-dua parti itu berbeza sama sekali.

Penganalisis politik, Prof. Madya Zainal Abidin Borhan berkata, Kit Siang dan pimpinan DAP tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan platform parti lain terutamanya Pas sedangkan mereka boleh menggunakan lambang Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Jika benar itu berlaku, Pas selepas ini akan dianggotai dan dipimpin oleh orang-orang kafir.

"Menggunakan logo Pas berbanding PKR dibimbangi mempunyai niat jahat untuk memecah-belahkan umat Melayu dan Islam sekiranya parti yang dipinjam untuk ditandinginya itu menang,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Online petang ini.

Zainal Abidin diminta mengulas kenyataan Kit Siang di dalam akaun twitternya hari ini berhubung cadangan beliau untuk bertanding menggunakan lambang Pas sekiranya ROS menggantung pendaftaran DAP.

Sebelum ini, pelbagai pihak termasuk para ahli dan bekas pemimpin DAP telah mendesak ROS mengambil tindakan membatalkan pendaftaran DAP berikutan kedegilan parti tersebut mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu selepas berlaku “kesilapan" ketika pemilihannya tahun lalu.

Menurut Zainal Abidin, sekiranya hal itu berlaku, DAP secara tidak langsung dia telah menunjukkan belang untuk mempergunakan Pas untuk menjadi alat perjuangan politik mereka dan wujud persengketaan antara Pas dan DAP jika keputusan PRU-13 memihak kepada parti kedua terbesar orang Melayu itu.

Semenatara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi berkata, tidak mungkin DAP akan menguasai Pas jika parti itu memenangi PRU-13 kerana yakin bilangan ahli parti itu lebih ramai berbanding DAP.

"Kita mengalu-alukan calon-calon DAP menggunakan Pas dan PKR untuk bertanding di dalam PRU-13. Di dalam parti Pas sendiri, kami mempunyai sayap parti iaitu Dewan Himpunan Penyokong Pas yang terdiri daripada bukan Islam.

"Setakat ini, kami telah menerima penyertaan lebih 30,000 ahli di dalam dewan himpunan itu," katanya.

Bagaimanapun, menurut Mustafa, para pemimpin DAP termasuk Kit Siang yang berhasrat bertanding atas tiket Pas perlu mendaftarkan diri sebagai ahli Pas terlebih dahulu. - UTUSAN ONLINE


EmoticonEmoticon